Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

PEMOHON SKIM PERUMAHAN NEGARA DAERAH BRUNEI & MUARA DAN DAERAH TUTONG TERIMA KURNIA

​Sabtu, 26 Safar 1446H bersamaan 31 Ogos 2024M - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei & Muara dan Daerah Tutong kepada 440 orang penerima. Majlis disempurnakan di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Jalan Ban 5, Kampung Kilanas.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Yang Mulia Pengiran Md Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim Pemangku Pegawai Daerah Brunei & Muara.

HDD4043.jpgHDD4088.jpg

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Sahrin bin Haji Kadih, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei & Muara diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Mulia Pengiran Md Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, Pemangku Pegawai Daerah Brunei & Muara.

Pada majlis berkenaan, seramai 440 orang telah dianugerahkan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara dimana 397 orang adalah terdiri daripada penerima dari Daerah Brunei & Muara manakala 43 orang penerima adalah dari Daerah Tutong. Dari keseluruhan jumlah tersebut, 404 orang telah diperuntukan rumah jenis teres, 29 orang diperuntukan unit pangsapuri, seorang diperuntukan rumah jenis kembar dan 6 orang diperuntukan rumah jenis kluster.

HDD4118.jpgHDD4147.jpg

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei & Muara.

Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat melawat ke Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan seterusnya ke Sekolah Rendah Awang Haji Mohd Yusof Katimahar, Kampung Katimahar.

Selepas lawatan dari instistusi pendidikan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat ke rumah Pemangku Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Yang Mulia Awang Haji Bujang bin Haji Abd Ghani.

Dari rumah Pemangku Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung berangkat melawat ke rumah-rumah para peserta yang menerima anak-anak kunci rumah teres di bawah Perumahan Negara Kampung Lugu.

HDD4588.jpgHDD4597.jpg 


Bagi mengakhiri majlis keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat ke Dewan Berkshire, Tarindak D’Polo Royal Brunei Polo and Riding Club Sdn. Bhd., Jerudong bagi majlis santap tengahari.

Rakyat Baginda amat bertuah dengan kepimpinan Baginda yang terus menerus memberikan keprihatinan serta pemedulian terhadap kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat di negara ini. Ianya jelas terbukti dengan adanya penyediaan perumahan yang selesa, mampu milik dan mampan khususnya melalui Skim Perumahan Negara.


Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerusi Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan telah, masih dan akan terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha dalam memastikan rakyat mempunyai tempat kediaman sejajar dengan hasrat Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah kualiti kehidupan yang tinggi.

Attachments