Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kunjungan berhari raya Menteri Pembangunan dan rombongan

Oleh:  Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim | Foto : Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali | Ahad, 09 Ogos 2015

​​ce1c047e41aa0b783c33ca1aad7038c5_XL_.jpg
MENTERI Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman bersama pegawai-pegawai kanan ketika hadir dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Telisai, Tutong. 

TUTONG, Sabtu, 8 Ogos. - Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman berserta rombongan menghadiri majlis tersebut dengan berkunjung ke cawangan jabatan-jabatan di bawah kementerian tersebut di daerah ini.

Yang Berhormat dan rombongan berkunjung berhari raya ke Dewan Kemasyarakatan Mukim Telisai, Tutong bersama pegawai dan kakitangan cawangan Jabatan Kerja Raya; Jabatan Tanah; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Perancang Bandar dan Desa; Jabatan Ukur dan Jabatan Kemajuan Perumahan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Juruukur Daerah, Jabatan Ukur Cawangan Daerah Tutong, Awang Johan bin Haji Zin'm yang antara lain menjelaskan, selaku wakil pegawai dan kakitangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Daerah Tutong akan sentiasa komited dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan dan akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi kerja dari semasa ke semasa.

Seterusnya majlis diikuti dengan penyampaian sumbangan derma kepada dua kakitangan di Cawangan Daerah Tutong yang kurang berkemampuan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

08082015_MASMALEH_RAYA_MOD_3.jpg

08082015_MASMALEH_RAYA_MOD_4.jpg
YANG Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan sumbangan derma kepada kakitangan di Cawangan Daerah Tutong yang kurang berkemampuan.​

Para penerima sumbangan tersebut ialah Awang Roslan bin Abd. Malik Bujing, Buruh di Jabatan Ukur, Cawangan Daerah Tutong, dan Dayang Nurhazimah binti Gambar, Kerani di Jabatan Tanah, Cawangan Daerah Tutong.

Sejurus selepas itu, para hadirin menikmati jamuan ringan yang disusuli dengan ramah mesra bersama Yang Berhormat Menteri Pembangunan bersama pegawai dan kakitangan di cawangan daerah ini.

Sejurus selepas itu, rombongan bertolak dari Daearah Tutong menuju ke Dewan Serbaguna, Taman Persiaran, Jalan Sungai, Kuala Belait bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Daerah Belait.

Juga hadir, Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Chua Pheng Keong; ketua-ketua jabatan, ketua-ketua divisyen / unit dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis sedemikian adalah salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pembangunan bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal yang mulia ini dalam menyemai rasa tanggungjawab ke atas kebajikan pegawai dan dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments