Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Projek pembinaan Jabatan Penghubung berjalan mengikut jangkaan
Oleh:  Pelita Brunei | Foto : Hezlinawati Haji Abdul Karim | Isnin: 03 Ogos 2015

b89eeb9d51d4721f3643fc17616bd9df_XL.jpg
MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman ketika menyampaikan sumbangan derma kepada wakil salah seorang kakitangan jabatan di bawah Kementerian Pembangunan yang kurang berkemampuan. 

TEMBURONG, Isnin, 3 Ogos. - Projek pembinaan Jambatan Penghubung di antara Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong berjalan seperti yang dijangkakan yang mana projek CC2 telah pun ditenderkan dan syarikat terbabit telah membuat persediaan awal untuk memulakan kerja-kerja mereka.

Sementara itu kontraktor-kontraktor yang berjaya bagi mengendalikan projek CC3 dan CC4 akan diumumkan sedikit masa lagi.

Demikian dijelaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman ketika ditemui oleh media pada  Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2015 Yang Berhormat Menteri Pembangunan bersama warga jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok, Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Mukim Bokok.

Yang Berhormat juga menjelaskan bahawa projek dijangkakan siap hujung tahun 2018 dan kerja-kerja akan bermula sebaik saja kerja-kerja tanah dan kerja-kerja penimbukan selesai dimulakan oleh pihak-pihak berkenaan.

030815_LIN2_RAYA.jpg
SESI bergambar ramai bersama tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2015 
Yang Berhormat Menteri Pembangunan bersama warga jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan.

Terdahulu, Ketua Cawangan Jabatan Tanah Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Majid bin Haji Mohd. Nawi, selaku Pengerusi majlis menjelaskan bahawa selaku pegawai dan kakitangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, para pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan di daerah ini akan sentiasa komited dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan dan akan berusaha untuk meningkatkan prestasi kerja mereka dari semasa ke semasa.

Menurutnya, semua pegawai dan kakitangan  sentiasa memberi kerjasama yang padu dalam memastikan segala perancangan dan pembangunan yang telah dan akan dirancang berjalan lancar dan sempurna seperti yang dikehendaki.

030815_LIN3_RAYA.jpg
YANG Berhormat Menteri Pembangunan beramah mesra bersama para pegawai dan kakitangan dari cawangan 
jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan di Daerah Temburong.

Majlis diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada dua kakitangan jabatan di bawah Kementerian Pembangunan yang kurang berkemampuan, disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Pada majlis itu, Yang Berhormat berpeluang  beramah mesra bersama para pegawai dan kakitangan daripada cawangan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan  di daerah berkenaan.
 
Selain sebagai aktiviti tahunan Kementerian Pembangunan bersempena Hari Raya Aidilfitri, majlis juga diadakan bagi menyemai rasa tanggungjawab dalam golongan pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya di daerah ini serta mengeratkan lagi silaturahim di antara mereka, di samping sebagai tanda pemedulian terhadap warga kementerian berkenaan yang memerlukan pemedulian.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments