Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

JPBD lancar 2 sistem secara online

​Oleh: Media Permata | Rabu, 9 November 2016

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 November. – Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) hari ini melancarkan dua sistem secara atas talian atau online iaitu Sistem Elektronik Kebenaran Perancangan atau e-KP dan Sistem Elektronik Pemilihan Tapak atau e-3S yang direka-cipta oleh jabatan berkenaan secara dalaman, untuk memudahkan dan mempercepatkan proses menghadapkan permohonan tapak dan permohonan kebenaran perancangan di pihak pemohon.

Pelancarannya disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah semasa Majlis Perasmian Konvensyen Jabatan Perancang Bandar dan Desa 2016 bersempena dengan Hari Perancangan Bandar Sedunia, yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan di sini.

JPBD dalam kenyataannya berkata, kedua-dua sistem tersebut mampu memperkasa sistem kerja kedua-dua proses permohonan tapak projek dan kebenaran perancangan, selain dapat mengurangkan masa proses, meningkatkan mutu kerja dan menjimatkan penggunaan sumber tenaga manusia, perkakasan dan peralatan pejabat.

"Sistem e-KP membolehkan Qualified Persons atau QPs menghadapkan permohonan secara elektronik tanpa hadir ke kaunter jabatan. Sementara di pihak jabatan, proses penelitian akan menjadi mudah dan cepat dengan penggunaan alat bantu elektronik yang membolehkan parameter perancangan dianalisis secara berkomputer, berbanding dengan kaedah manual yang mengambil masa dan menggunakan banyak sumber.

"Manakala sistem e-3s membolehkan pemohon menghadapkan permohonan dan memberikan ulasan persetujuan atau sebaliknya terhadap tapak yang dikenalpasti secara elektronik. JPBD juga dapat memproses dan mengedarkan cadangan tapak yang dikenal-pasti untuk ulasan, pandangan dan persetujuan ahli-ahli Jawatankuasa Kecil Pemilihan Tapak secara atas talian," kata kenyataan itu lagi.

Menurut JPBD, kedua-dua sistem e-3s dan e-KP membolehkan pemohon dan QPs untuk memantau status permohonan masing-masing melalui sistem-sistem tersebut.

Makluman melalui sistem pesanan ringkas atau SMS juga akan dihantar secara automatik apabila permohonan diterima, apabila penyelarasan diperlukan dan apabila permohonan diluluskan oleh JPBD.

Kedua-dua sistem tersebut juga membolehkan JPBD memantau Tekad Pemedulian Orang Ramai atau TPOR dan memantau prestasi ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan Tapak dan QP.

Tema sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia pada tahun ini 'Memperkasa sistem kerja ke arah menyumbang kepada perancangan bandar yang dinamik dan berdaya-tahan' mencakupi penambahbaikan kepada keseluruhan sistem kerja dengan memantapkan lagi proses dan prosedur sedia ada dengan kaedah pelaksanaan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak yang berkenaan, serta mewujudkan garis panduan sistem atau tatacara kerja yang belum lagi tersedia.

Penambahbaikan juga merangkumi peningkatan kapasiti dan kemahiran kakitangan melalui pengurusan sumber tenaga manusia yang sistematik termasuklah rancangan penggantian, keperluan latihan dan pembangunan karier. Dengan sistem yang lebih efisien dan kakitangan yang lebih berkemahiran, perancangan bandar yang dinamik dan berdayatahan akan dapat dicapai.

JPBD juga telah mengaturkan beberapa sesi taklimat dan bengkel bagi pegawai dan kakitangan Jabatan yang antara lain berkisar kepada meningkatkan pengetahuan terhadap etika kerja dan urus-tadbir yang baik, melaksanakan cadangan-cadangan pembaikan kepada sistem kerja sedia ada dan mengadakan latihan bagi kedua-dua sistem yang direka-bentuk kepada stakeholders yang berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Media Permata.

Attachments