Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Hijrah tidak putus selagi seorang Muslim sentiasa bertaubat

Oleh: Haniza Abdul Latif | Foto: Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah | Ahad, 9 Oktober 2016

e0462bd7b6169301ad73b76e0d7d0792_XL.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah ketika hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1438 bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Oktober. - Majlis-majlis keagamaan sempena Sambutan Tahun Baharu Hijrah 1438 giat diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi mengenang dan mengambil iktibar dari sejarah perjuangan dan pengorbanan Junjungan Besar dan agung kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya petang tadi mengadakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1438 yang diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh pegawai di Jabatan Tanah, Awang Mohd. Yamin bin Haji Muhin dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qariah Musabaqah Al-Quran Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, Dayang Amal Hayati binti Haji Junaidi.

Seterusnya, majlis diserikan dengan ceramah ugama bertajuk 'Menuju Allah dan Rasul-Nya' yang disampaikan oleh Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ajak yang antara lain menjelaskan tentang penghijrahan hati seorang Muslim kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasul-Nya.

081016_MOD_AMP-3.jpg 

PENCERAMAH undangan pada Sambutan Maal Hijrah tersebut, Awang Abd Rahman bin Haji Ajak.

Tambahnya, adalah wajib bagi setiap Muslim untuk berhijrah dan hijrah tidak akan terputus selagi seorang Muslim itu sentiasa bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala iaitu dengan meninggalkan segala yang ditegah dan diharamkan oleh-Nya.

Majlis pada tahun ini dikendalikan oleh Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan yang mana merupakan antara aktiviti keugamaan kementerian berkenaan.

Ia diadakan sebagai wadah majlis ilmu untuk para pegawai dan kakitangan kementerian tersebut mengenang dan mengambil iktibar dari sejarah perjuangan dan pengorbanan Junjungan Besar dan agung kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan serta mengembangkan ajaran Islam seperti apa yang diamalkan dan dinikmati hingga ke hari ini.

081016_MOD_AMP-2.jpg 

WARGA Kementerian Pembangunan yang menghadiri majlis sambutan berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny dan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

Juga hadir ialah ketua pengarah kerja raya, ketua-ketua dan timbalan-timbalan ketua jabatan serta para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments