Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Ibadah korban mendidik jiwa lebih takwa

Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad | Foto: Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali | Khamis, 15 September 2016

e718c4cc3cf1141266e6a02d03759fb5_XL.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah semasa menyempurnakan agihan daging korban kepada penerima.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 September. - Dalam meraih ganjaran pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala, pelbagai pihak di negara ini giat melaksanakan ibadah korban bersempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1437 Hijrah / 2016 Masihi.

Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa turut mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan di bawahnya bertempat di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan pengagihan daging korban kepada golongan asnaf fakir miskin ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah.

140916_MoD_HJMAS-1.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Ibadah Korban bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.

Majlis turut diselitkan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Korbanku untuk Mu' yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Haji Mohd. Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

Dalam ceramahnya, beliau antara lain menjelaskan bahawa melaksanakan ibadah korban itu mampu mendidik jiwa ke arah yang lebih takwa, selain sebagai menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat hidup dan rezeki yang Allah Subhanahu Wata'ala limpahkan kepada kita yakni hamba-Nya.

Ibadah korban itu, jelasnya, merupakan ujian Allah Subhanahu Wata'ala untuk melatih manusia berkorban di mana fadilat melaksanakan korban itu sangat banyak dan mendapat ganjaran pahala yang cukup besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

140916_MoD_HJMAS-3.jpg 

CERAMAH Khas bertajuk 'Korbanku untuk Mu' yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Haji Mohd. Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

Majlis kemudian diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban kepada seramai 165 orang daripada golongan asnaf fakir miskin yang terdiri daripada ketua keluarga serta tanggungannya yang terpilih dari Mukim Berakas 'A' dan 'B' serta warga kementerian berkenaan.

Tahun ini, sebanyak tujuh ekor lembu telah dikorbankan dengan disertai oleh seramai 49 orang peserta yang mengikuti ibadah korban kali ini.

Majlis Ibadah Korban ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan yang diadakan setiap tahun oleh Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya bertujuan untuk memberi peluang kepada pegawai-pegawai dan kakitangannya untuk beramal dan bersedekah serta sebagai tanda taat dan bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan-Nya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments