Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Komited kerjasama alam sekitar

Oleh: Sim Y. H. | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi | Rabu, 31 Ogos 2016

_MG_9065.JPG 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dan Masagos Zulkifli ketika Mesyuarat Kerjasama Alam Sekitar Brunei-Singapura ke-10.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos. – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura menekankan komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang alam sekitar serta amat mengalu-alukan perkembangan yang dicapai dalam kegiatan kerjasama yang sedia ada di antara kedua-dua buah negara.

Komitmen itu disuarakan bersama oleh Menteri Pembangunan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Republik Singapura, Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad dalam kenyataan akhbar bersama bagi Mesyuarat Kerjasama Alam Sekitar Brunei-Singapura ke-10 di bawah Pertukaran Lawatan Tahunan yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Menteri yang bersidang juga bertukar-tukar pandangan berhubung dengan pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air dan program-program pertukaran belia alam sekitar.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa kedua-dua menteri bersetuju bagi kedua-dua belah pihak untuk bertukar idea berhubung dengan kepenggunaan hijau termasuk penggunaan label hijau bagi memandu pembuatan dan penggunaan mapan.

Mereka juga mengambil maklum mengenai perbincangan berhubung dengan isu-isu alam sekitar utama ASEAN dan menekankan komitmen untuk terus bekerjasama dengan rakan-rakan lain untuk mengembangkan lagi kepentingan alam sekitar serantau.

Kedua-dua orang menteri juga menyokong kerjasama berterusan kedua-dua buah negara dalam pengurusan bahan buangan terutama pertukaran pengalaman dalam bidang pengitaran semula bahan buangan makanan dan E-waste serta penguasaan bagi membendung kegiatan membuang sampah merata-rata. Menteri yang bersidang juga mengalu-alukan pertukaran maklumat yang berguna termasuk sistem laporan kualiti udara terutama PM10 dan PM2.5 bagi pemantauan jerebu serantau.

Di samping itu, kedua-dua menteri juga mengambil maklum bahawa Brunei Darussalam dan Singapura akan mengukuhkan lagi pertukaran dalam pengurusan sumber air menerusi pertukaran ilmu pengetahuan bagi pembangunan, pelaksanaan, operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air dan rangkaian sistemnya, pengurusan permintaan air dan penjimatan air, mengurangkan banjir serta pengurusan air terpakai.

Sumber: Media Permata.

Attachments