Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

KKC kaedah tingkatkan perkhidmatan cemerlang

Oleh: Haniza Abdul Latif, Nur Asrina binti Idris | Foto: Azmah Haji Ahad | Ahad, 14 Ogos 2016

1356851a37f79674443700a5af3098f2_XL.jpg 

TIMBALAN Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar ketika memberikan ucapan pada Majlis Penyampaian Hadiah Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC).

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 13 Ogos. – Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) ditubuhkan bukan semata-mata hanya untuk ikut bertanding, tetapi ia adalah kaedah untuk menyelesaikan permasalahan dan meningkatkan perkhidmatan jabatan ke tahap yang cemerlang.

Jika jabatan-jabatan dapat membudayakan kaedah KKC secara berterusan dan menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang, di mana semua pelanggan dan orang ramai berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan ia adalah satu kejayaan sangat bermakna dan berharga.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa Majlis Konvensyen KKC Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya 2016 yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, di sini.

"Saya berkeyakinan bahawa dengan menggunakan kaedah KKC dalam penyelesaian masalah di setiap bahagian atau jabatan-jabatan, ia bukan sahaja dapat memudahkan pihak pengurusan membuat keputusan yang terbaik dalam memperbaiki perkhidmatan malahan juga dapat meningkatkan kualiti serta produktiviti jabatan berkenaan dari segi penjimatan kos perbelanjaan, penjimatan masa, memendekkan proses-proses kerja dan mempermudahkan proses permohonan orang ramai," terangnya lagi.

Beliau seterusnya menyeru kepada ketua-ketua jabatan dan bahagian-bahagian di bawah kementerian tersebut supaya akan sentiasa memantau dan membimbing kumpulan KKC masing-masing supaya ia terus bergerak aktif serta mampu membawa mereka bergerak dengan efisien, cepat dan produktif dalam meningkatkan perkhidmatan pada lebih cemerlang.

Tambahnya, mana-mana projek KKC yang telah ditubuhkan perlulah sentiasa dipastikan ia dipantau dan diaplikasikan secara berterusan di setiap bahagian atau jabatan berkenaan.

Penubuhan KKC juga menurutnya, dengan secara langsung dapat memberikan peluang kepada pegawai dan kakitangan di jabatan masing-masing untuk berinteraksi, bercambah fikiran selain boleh berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam mempertingkatkan serta memperkesankan lagi pemberian perkhidmatan atau 'service delivery' di organisasi masing-masing supaya ia dapat menjadi contoh terbaik pada jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

Jika persekitaran kerja yang kondusif dan harmoni ini dapat dicapai ujarnya, beliau yakin setiap jabatan di bawah kementerian berkenaan akan dapat menubuhkan dan menampilkan kumpulan kerja cemerlang terbaik yang dapat mereka semua banggakan.

"Oleh itu, saya sangat-sangat berharap dan berseru kepada semua ketua-ketua jabatan di bawah kementerian ini supaya akan dapat melipatgandakan usaha ke arah pembaikan kerana usaha dan kemahuan yang positif serta komitmen tinggi daripada pegawai-pegawai atasan adalah sangat mustahak dan penting dalam menyahut dan mendukung hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah mempertingkatkan kualiti kerja dan servis yang diberikan kepada pelanggan atau 'stakeholders' dalam mencapai matlamat kecemerlangan perkhidmatan awam di negara ini dan seterusnya mencapai hasrat Wawasan Negara Brunei 2035," katanya lagi.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments