Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Inisiatif hijau terus diambil perhatian

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan / Butra HeidelbergCement (BHC) Sdn. Bhd.

1_Inisiatif hijau terus diambil perhatian.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria hadir selaku tetamu kehormat semasa Dialog Pembinaan Hijau 2023. (Foto: Butra HeidelbergCement (BHC) Sdn. Bhd.)

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 September. – Negara Brunei Darussalam terus komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sejajar dengan Perjanjian Paris, dengan matlamat pengurangan sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2030. Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam (BNCCP) menggariskan 10 strategi utama demi mencapai sasaran ini. Sejak pelancaran BNCCP, Brunei telah mencapai pengurangan pelepasan melebihi sasaran dalam dua tahun kebelakangan selari dengan objektif BNCCP menjadikan ekonomi yang rendah karbon dan berdaya tahan iklim seluruh negara.

Perkara ini adalah antara intipati ucaptama Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria yang hadir selaku tetamu kehormat semasa Dialog Pembinaan Hijau 2023.

2_Inisiatif hijau terus diambil perhatian.jpg

SETIAUSAHA Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan semasa memberikan ucaptamanya.

Tambahnya, Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang tahun 2050, dan menggesa industri bangunan dan pembinaan untuk menyokong matlamat ini melalui amalan pembinaan hijau dan mampan.

Pembinaan hijau ('green construction') adalah amalan pembinaan struktur dan infrastruktur yang memaksimumkan kesejahteraan pekerja dan produktiviti dengan mengurangkan penggunaan sumber, pembaziran, dan impak alam sekitar yang negatif.

Menurutnya lagi, Kementerian Pembangunan, melalui Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah melancarkan Kerangka Industri Pembinaan 2023-2035 yang bertujuan untuk membangunkan sektor pembinaan yang kondusif, kompeten dan mampan di negara ini.

Untuk menggalakkan pembinaan hijau, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan seperti Panduan Kecekapan Tenaga dan Pemuliharaan (EEC) 2015 untuk bangunan bukan kediaman pada tahun 2015, skor penilaian capaian hijau tempatan BAGUS ('Brunei Accredited Green Unified Seal') pada tahun 2016, dan pembaharuan skor penilaian ini pada tahun 2022 yang diselarasksn dengan piawaian kecekapan tenaga.

Selain itu, Skim Produk Mampan ('Sustainable Products Scheme') telah diperkenalkan untuk mendaftarkan bahan dan produk binaan yang mampan bagi menggalakkan penggunaannya. Lebih daripada 80 produk telah diluluskan di bawah skim ini, termasuk produk-produk tempatan yang mempunyai kesan jejak karbon yang baik.

Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin juga menggariskan usaha-usaha kerajaan ke arah inisiatif hijau, termasuklah dengan menyediakan projek perumahan seperti Rumah Pangsa Lambak Kanan, Rumah Kluster Lugu dan Perumahan Tanah Jambu yang bertaraf hijau, menggantikan sistem yang tidak cekap tenaga dengan alternatif yang lebih mesra alam serta memasukkan ciri-ciri pembinaan hijau dalam bangunan-bangunan baru kerajaan dengan penekanan kepada kecekapan tenaga, penjimatan air, dan penggunaan produk yang mampan.

Pemasangan sistem PV solar pada bangunan kerajaan yang bersesuaian juga akan diteruskan selepas projek ujikaji pertama yang berjaya di Daerah Temburong. Inisiatif-inisiatif ini secara kolektif akan menyumbang kepada industri pembinaan dan persekitaran binaan yang lebih mampan di negara ini.

Diakhir ucaptamanya, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin berharap agar sesi dialog ini akan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian dalam industri pembinaan dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan.

Dialog Pembinaan Hijau 2023 yang diadakan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei ini adalah anjuran Butra HeidelbergCement (BHC) Sdn. Bhd.

Perkara utama perbincangan adalah untuk meneroka tentang perkara yang diperlukan untuk menyesuaikan sifar bersih atau inisiatif penyahkarbonan dalam industri bangunan dan pembinaan, khususnya melalui garis panduan dan penglibatan sektor awam dan swasta. Ia juga bertujuan untuk membincangkan cabaran dan peranan yang boleh dilakukan oleh kedua-dua sektor untuk mengamalkan inisiatif hijau untuk industri yang mampan.

Attachments