Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Menteri Pembangunan hadiri SIWW di Singapura

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan | Rabu, 13 Julai 2016

e48820d207072c6db0d55a659f266b44_XL.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah bergambar ramai bersama ahli-ahli negara ASEAN bersama dengan wakil dari Republik Rakyat China, Korea dan Jepun.

REPUBLIK SINGAPURA, Selasa, 12 Julai. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah baru-baru ini telah menghadiri Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) di Republik Singapura pada 10 hingga 12 Julai 2016.

SIWW yang dianjurkan setiap dua tahun sekali ini adalah sebagai platform global bagi berkongsi dan membina kaedah inovatif bagi masalah air.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Tony Tan Keng Yam.

Acara tersebut telah mengumpulkan para Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai kanan daripada 35 buah negara dan pihak-pihak berkepentingan dalam industri air dunia bagi mengongsikan amalan-amalan terbaik dan teknologi-teknologi terkini.

Semasa Persidangan SIWW dijalankan, Mesyuarat Ahli-Ahli Negara ASEAN bersama Republik Rakyat China, Republik Korea dan Jepun juga diadakan yang mana membincangkan strategi-strategi dan kerjasama dalam menghadapi isu-isu cabaran yang berkaitan dengan bekalan air dan sanitasi di serantau ini.

120716_PR_MOD-2.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah semasa mengadakan perjumpaan dua hala bersama Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga telah mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.

Di antara perkara yang dibincangkan termasuk bagi menguatkan lagi kolaborasi dalam bidang yang berkaitan dengan bekalan air dan sanitasi di antara kedua-dua buah negara.

Selain itu, turut dibincangkan ialah usaha meningkatkan kapasiti profesional dan inovasi teknologi, meningkatkan kesediaan dan kemampanan bekalan air dan sanitasi untuk seluruh rakyat.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menghadiri persidangan kemuncak 'Water Leader Summit', Pameran Inovasi dan Teknologi Air dan juga Majlis Penganugerahan berprestij 'Lee Kuan Yew Water Prize', di mana tetamu kehormat pada Majlis Penganugerahan tersebut ialah Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments