Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Dikir Syarafil Anam sempena Maulidur Rasul 1445 Hijrah

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Dikir Syarafil Anam sempena Maulidur Rasul 1445 Hijrah.jpg

MAJLIS Berdikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi dikendalikan bersama oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan di Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 September. – Laungan dikir dan selawat bergema terutamanya di masjid-masjid, balai-balai ibadat dan surau di seluruh negara sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis Berdikir Syarafil Anam 12 Malam Berturut-Turut sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi turut dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan dikendalikan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan di Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Hadir selaku tetamu kehormat dan mengetuai rombongan Kementerian Pembangunan ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

Majlis dimulakan selepas menunaikan Solat Fardu Maghrib berjemaah dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis. Majlis kemudian diikuti dengan Dikir Assalamualaika dan disusuli dengan Dikir-dikir Syarafil Anam yang lain.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

2_Dikir Syarafil Anam sempena Maulidur Rasul 1445 Hijrah.jpg 3_Dikir Syarafil Anam sempena Maulidur Rasul 1445 Hijrah.jpg

ANTARA pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang hadir.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

4_Dikir Syarafil Anam sempena Maulidur Rasul 1445 Hijrah.jpg

SESI bergambar ramai.

Majlis keugamaan ini merupakan aktiviti tahunan yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan dan bertujuan untuk meningkatkan lagi rasa cinta yang mendalam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dengan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah dalam menyebarkan syiar Islam serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan kementerian.

Rombongan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya juga akan mengadakan majlis seumpama ini di beberapa buah masjid yang terpilih di seluruh negara bagi sama-sama memakmurkan dan mengimarahkan masjid di samping memperbanyakkan dikir dan selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

Attachments