Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jejantas Kampong Jangsak dirasmikan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Jejantas Kampung Jangsak dirasmikan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin merasmikan jejantas pejalan kaki Kampong Jangsak dengan upacara memoton reben.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 September. – Jejantas pejalan kaki Kampong Jangsak telah dibuka secara rasmi oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dengan upacara memotong reben dan disaksikan oleh Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin sebagai penaja kos pembinaan jejantas tersebut.

Sebagai salah seorang penduduk Kampong Jangsak selama lebih 40 tahun, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin mendapati bahawa pembangunan terkini di sekitar kawasan kampung tersebut dan aliran trafik yang agak tinggi dari Sekolah Seri Mulia Sarjana dan Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyebabkan kesesakan lalu lintas setiap hari terutamanya pada waktu sibuk.

2_Jejantas Kampung Jangsak dirasmikan.JPG

JEJANTAS pejalan kaki Kampong Jangsak yang baharu dirasmikan.

Isu keselamatan menjadi kebimbangan di mana pelajar-pelajar dan ibu bapa dapat dilihat memanjat penghadang untuk melintasi jalan raya berkenaan.

Dengan mengambil kira kesejahteraan pelajar serta ibu bapa, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin telah berjaya merealisasikan hasrat beliau untuk membina jejantas berkenaan sebagai sumbangan beliau kepada masyarakat.

Jejantas tersebut telah dibina dengan kelulusan dari Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kos berjumlah BND330,000.

3_Jejantas Kampung Jangsak dirasmikan.JPG

ANTARA tetamu-tetamu yang hadir di majlis perasmian berkenaan.

Majlis perasmian berkenaan turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan serta Pemangku Ketua Kampong Jangsak.

Attachments