Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Penyerahan kunci Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Ehsan Kementerian Pendidikan

1_Penyerahan kunci Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.jpeg

SETIAUSAHA Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria menyempurnakan penyerahan kunci bangunan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.

TEMBURONG, Isnin, 20 Februari. – Majlis Penyerahan Kunci bagi Bangunan Baru Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong telah diadakan hari ini yang dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh selaku tetamu kehormat.

Acara penyerahan kunci bangunan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Projek pembinaan semula Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong adalah selaras dengan rancangan jangka panjang dan hasrat Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti melalui pelan Rancangan Kemajuan Negara ke-11.

Bangunan baru Sekolah Menengah Sultan Hassan yang terletak di Kampong Batu Apoi, Mukim Batu Apoi, Daerah Temburong dibina di atas tapak berkeluasan 15.419 ekar. Bangunan sekolah ini menggantikan bangunan Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar yang asal dibina sekitar tahun 1984 dan mula digunakan pada tahun 1986.

Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan, Jabatan Kerja Raya telah dipertanggungjawabkan bagi pengendalian projek pembinaan ini melalui kontraktor yang telah dilantik iaitu LCY Development Sdn. Bhd. dengan kaedah “Design and Build". Projek yang berjumlah lebih BND16 juta ini telah dilaksanakan bermula 16 Februari 2021 dan siap pada penhujung Januari 2023.

Di antara kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah bangunan Blok Pentadbiran, Blok Dewan Serbaguna, Blok Bilik Darjah, Blok Makmal Sains, Blok Perpustakaan, Blok Surau, Blok Kantin dan Dewan Makan, Kawasan Letak Kereta, tempat penurunan, tempat penuntut beratur, pagar keliling kawasan, tempat letak kereta, laluan beratap, padang sekolah, pondok penjaga keselamatan, pondok pembuangan sampah, sub-stesen dan rangkaian infrastruktur.

Sumber: Siaran Akhbar Kementerian Pendidikan.

Attachments