Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kementerian Pembangunan semarakkan bulan Ramadan

​Oleh: Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad | Foto: Mohd Sahrizal Haji Said | Jumaat, 17 Jun 2016

 44e8bba7f20732ea9a969a8791317ec3_M.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah semasa membaca ayat-ayat suci Al-Quran di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

RIMBA, Khamis, 16 Jun. - Sempena bulan Ramadan yang Mubarak, majlis-majlis keagamaan giat dan rancak dijalankan di negara ini bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan.

Tidak ketinggalan mengadakan majlis seumpamanya ialah rombongan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang mengadakan Majlis Bertadarus, Bertahlil dan Berbuka Puasa di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, di sini.

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah; Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Eddie bin Dato Paduka Paduka Haji Sunny; Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa 30 biji rehal bagi keperluan masjid berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan kepada Imam Masjid, Awang Haji Abidin bin Haji Matarshad.

160616_RIZAL_MOD-2.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Bahrin bin Abdullah  semasa menyampaikan wakaf.

Setelah itu, Majlis Bertadarus diteruskan dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh imam masjid dan diikuti dengan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dimulakan oleh Menteri Pembangunan.

Sejurus selesai bertadarus, majlis diikuti dengan berbuka puasa dan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh imam masjid berkenaan.

Hadir sama menyertai majlis tersebut ialah ketua-ketua jabatan, ketua-ketua divisyen termasuk para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ahli-ahli takmir masjid dan para penduduk di sekitar kampung berkenaan.

Majlis seumpamanya adalah merupakan sebahagian daripada kegiatan keagamaan yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak.

Acara yang sama juga akan diadakan di Masjid Kampung Bengkurong pada 21 Jun 2016 dan Majlis Khatam Al-Quran pula diadakan pada 25 Jun 2016 bertempat di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Kampung Tamoi.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments