Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jejambat Lugu dirasmikan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Jejambat Lugu dirasmikan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyempurnakan perasmian pembukaan Jejambat Lugu

LUGU, Ahad, 20 Februari. – Dengan perasmian Jejambat Lugu di persimpangan Perumahan Negara Kampong Lugu, kini para pengguna jalan raya khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan Perumahan Negara Kampong Lugu boleh mengurangkan tempoh perjalanan untuk menuju ke Bandar Seri Begawan tanpa menggunakan Jalan Tutong ataupun pusingan 'U' di Lebuhraya Muara-Tutong yang terletak enam kilometer dari kawasan Perumahan Negara Kampong Lugu.

Hadir selaku tetamu kehormat ke Majlis Perasmian Jejambat Lugu pada pagi tadi ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan Majlis Perasmian Pembukaan Jejambat Lugu di Lebuhraya Muara-Tutong/Perumahan Negara Kampong Lugu yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti oleh Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pembangunan, Ahli-Ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera & Arkitek (PUJA), Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong yang hadir.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Ketua Pemantau Masjid Daerah Brunei dan Muara Zon II, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Muhd Amin bin Haji Salim.

4_Jejambat Lugu dirasmikan.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa acara penanaman pokok.

Majlis juga diselajurkan dengan acara penanaman sebanyak 500 pohon anak pokok di tapak kawasan projek tersebut. Acara penanaman pokok ini mencerminkan usaha bersepadu pihak Kerajaan dalam merealisasikan salah satu matlamat Wawasan Negara 2035 di bawah Strategi Negara Hijau disamping mendokong Strategi ke-2 iaitu Liputan Hutan yang terkandung dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Strategi ini bertujuan untuk meningkatkan penyerapan karbon melalui penghutanan dan program penghutanan semula dengan sasaran penanaman 500,000 pokok baharu menjelang 2035 bagi Negara Brunei Darussalam. Peningkatan liputan hutan akan meningkatkan potensi penyerapan karbon domestik. Ini akan memberi kesan positif kepada habitat, biodiversiti dan ekosistem.

5_Jejambat Lugu dirasmikan.JPG

JEJAMBAT Lugu yang telah siap dibina.

Projek pembinaan jejambat ini telah dimulakan pada November 2019 dan telah siap dalam tempoh 24 bulan dengan kos pembinaan berjumlah hampir BND$13,000,000. Rekabentuk persimpangan adalah jenis trumpet yang dibina bagi menyediakan laluan keluar-masuk Lebuhraya Muara-Tutong. Skop pembinaan persimpangan termasuk penambahbaikan akses utama Perumahan Negara Kampong Lugu dari Lebuhraya Muara-Tutong, pembinaan jambatan berkembar, penyediaan lampu jalan pada jambatan dan pemasangan pagar keselamatan.

1_Jejambat Lugu dirasmikan.JPG

3_Jejambat Lugu dirasmikan.JPG

SESI bergambar ramai.

Turut hadir di majlis ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Arshad @ Haji Sabli, Yang Berhormat Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanti binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera & Arkitek (PUJA) beserta Ahli-Ahli, Pemangku Penghulu Mukim Sengkurong, Pemangku Ketua Kampong Lugu/Katimahar dan Pemangku Ketua Kampong Tanjong Nangka; para pegawai dan kakitangan Kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Attachments