Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pembangunan terus dilaksanakan mengikut BCP

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

3_Pembangunan terus dilaksanakan mengikut BCP.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara semasa Sesi Muzakarah Kementerian Pembangunan Bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Februari. – Kementerian Pembangunan, hari ini, mengadakan sesi muzakarah bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Hadir mempengerusikan sesi muzakarah ini ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Rombongan seramai 19 orang Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara hadir ke sesi muzakarah ini diketuai oleh Yang Berhormat Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman.

Sesi muzarakah ini didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.

4_Pembangunan terus dilaksanakan mengikut BCP.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan, yang antara lain mengongsikan cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Pembangunan dalam memenuhi jangkaan keperluan orang ramai yang semakin meningkat dalam keadaan perubahan ekonomi global yang mencabar ditambah lagi dengan pendemik COVID-19 yang melanda dunia pada masa ini.

COVID-19 memberi impak sangat mendalam terhadap aktiviti-aktiviti seharian kita, tidak terkecuali juga perlaksanaan bagi projek-projek di bawah Kementerian Pembangunan. Walaubagaimanapun, dengan adanya Business Continuity Plan (BCP), usaha-usaha dan perancangan yang telah dirancang ini dapat terus dilaksanakan dengan teratur.

Tambah Yang Berhormat Menteri Pembangunan, strategi Kementerian Pembangunan dalam usaha mendokong keutamaan Kerajaan adalah selaras dengan matlamat Wawasan Negara 2035 dengan memberi penekanan dalam usaha menjamin sekuriti air dan penyediaan bekalan air bersih yang berterusan, pembangunan perumahan awam, pembukaan tanah-tanah Kerajaan yang telah dikenalpasti bagi pelaburan pembangunan bercampur (mixed development), pembangunan infrastruktur bagi mitigasi banjir dan bencana alam serta mendokong strategi-strategi di bawah dasar perubahan iklim dan sumbangan bagi penubuhan pusat perubahan iklim ASEAN di negara ini.

Manakala dari segi tindakan penguatkuasaan pula, Kementerian Pembangunan melalui jabatan-jabatan berkenaan sedang giat melaksanakan dan mempertingkatkan lagi usaha-usaha penguatkuasaan bagi mengawal aktiviti di bawah bidangkuasa masing-masing. Usaha ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pematuhan undang-undang pembinaan, perancangan, tanah mahupun kebersihan yang boleh menjejaskan keselamatan orang awam atau harta benda di kawasan yang dimajukan, dan ia juga mengelakkan dari pencemaran alam sekitar yang boleh memudaratkan kesihatan awam.

Sejurus itu, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty selaku wakil rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga menyampaikan ucapan balasnya.

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga seterusnya berpeluang mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

1_Pembangunan terus dilaksanakan mengikut BCP.JPG

SESI bergambar ramai.

Sesi muzakarah ini adalah dihasrat untuk dijadikan sebagai satu platform untuk berbincang secara terbuka di antara kedua-dua belah pihak disamping bertukar-tukar pandangan dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan oleh Kementerian Pembangunan ke arah mencapai kesejahteraan rakyat.

Turut hadir semasa sesi muzakarah ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Attachments