Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Lawatan kerja Menteri Pembangunan ke tapak projek RKN11

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Lawatan kerja Menteri Pembangunan ke tapak projek RKN11.jpeg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa meninjau bangunan tempat tinggal sementara pekerja di tapak pembinaan Projek Perumahan Negara Kampong Lugu Fasa 2, di Daerah Brunei dan Muara.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Januari. – Dalam usaha sama pihak Kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19 di Negara ini, pihak Kementerian Pembangunan telah mengeluarkan Garis Panduan Langkah-Langkah Kawalan COVID-19 khususnya bagi Industri Pembinaan. Para Kontraktor dan Syarikat Pembinaan dikehendaki mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan antaranya memastikan kesemua pekerja dan pelawat untuk melengkapkan sekurang-kurangnya dua dos vaksin, melakukan Antigen Rapid Test (ART) sekali setiap dua minggu dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial semasa berada di tapak projek dan tempat tinggal.

Perkara ini telah ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa lawatan kerja ke beberapa buah tapak projek dibawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 (RKN 11) yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Pembangunan dimulakan dengan lawatan ke bangunan tempat tinggal sementara atau staff quarters yang menempatkan seramai 363 orang pekerja di tapak pembinaan Projek Perumahan Negara Kampong Lugu Fasa 2, di Daerah Brunei dan Muara.

Di samping itu, Yang Berhormat Menteri turut meninjau Blok Pengasingan yang telah disediakan semasa berlakunya penularan wabak COVID-19 pada tahun lalu. Bagi pekerja yang didapati mempunyai gejala COVID-19, mereka tidak akan dibenarkan bekerja dan dikehendaki untuk menjalankan tempoh pengasingan diri di Blok Pengasingan berkenaan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

Walaupun menghadapi cabaran dari wabak penularan COVID-19, Projek Perumahan Negara Kampong Lugu Fasa 2 yang akan menyediakan 1,000 unit buah rumah teres ini masih berjalan dengan lancar dan dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2023. Begitu juga dengan projek-projek perumahan lain yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan iaitu projek bagi pembinaan kira-kira 750 unit rumah teres di Rancangan Perumahan Negara Kampong Tanah Jambu Fasa 7 yang pada masa ini adalah dalam proses penilaian tawaran serta Projek membaikpulih dan menyiapkan 140 unit rumah teres di Rancangan Perumahan Negara Kampong Rimba, dimana projek ini dijangkakan akan siap pada penghujung tahun ini.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan rombongan bergerak ke tapak Projek Pembinaan Jejambat dari Lebuhraya Muara-Tutong ke Rancangan Perumahan Negara Kampong Lugu yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan. Projek yang dijangka siap pada bulan Mac 2022 ini dilaksanakan bagi kemudahan perjalanan orang ramai khususnya penduduk di kawasan tersebut. Dengan kesiapan jejambat ini, ia akan memendekkan masa perjalanan para pengguna jalan raya untuk menuju ke Daerah Brunei dan Muara, tanpa menggunakan Jalan Tutong Lama ataupun pusingan-u Lebuhraya Muara-Tutong yang terletak sejauh enam kilometer dari kawasan Perumahan Negara Kampong Lugu.

2_Lawatan kerja Menteri Pembangunan ke tapak projek RKN11.jpeg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan melawat tapak Projek Membaikpulih Jalan Tutong Lama.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan kemudian meneruskan lawatan kerja ke tapak Projek Membaikpulih Jalan Tutong Lama yang mana skop kerja projek ini secara amnya adalah untuk membaiki permukaan jalan yang rosak, pembinaan longkang konkrit dan melebarkan sebahagian jalan lebih kurang 500 meter dari kawasan persimpangan Jalan Jerudong. Projek ini dijangka akan siap pada bulan Februari 2022.

Antara objektif lawatan kerja ini adalah untuk memantau dan meneliti dengan lebih terperinci perkembangan projek-projek dibawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 dalam memastikan ia berjalan dengan lancar serta menepati kualiti dan tarikh siap yang telah ditetapkan.

Turut hadir semasa lawatan kerja ini ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Awang Haji Mohd Salleh bin Haji Abd Karim; Ketua-Ketua Jabatan yang berkenaan, Pegawai-Pegawai Kanan, para pegawai dan kakitangan kerajaan daripada Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Attachments