Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat MSC ke-22 Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Mesyuarat MSC ke-22 Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar mengetuai Negara Brunei Darussalam di Mesyuarat ke-22 Jawatankuasa Pandu Menteri-Menteri Rantau ASEAN Selatan Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 November. – Mesyuarat ke-22 Jawatankuasa Pandu Menteri-Menteri Rantau ASEAN Selatan Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (MSC) telah diadakan pada hari ini melalui persidangan video di mana Republik Indonesia menjadi Tuan Rumah kepada mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Menteri/Wakil yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand serta Setiausaha Agung ASEAN, dan telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Indonesia, Doktor Alue Dohong.

Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd Razak; serta Pegawai-pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, dan juga Jabatan Meteorologi.

2_Mesyuarat MSC ke-22 Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.jpg

MESYUARAT turut dihadiri oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan dan Pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Mesyuarat Ke-22 Kumpulan Kerja Teknikal Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (TWG) telah bersidang sebelum mesyuarat MSC ini.

Mesyuarat mengambil maklum mengenai maklumat keadaan cuaca dan asap jerebu yang disampaikan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC). Musim kemarau bagi rantau ASEAN Selatan bagi tahun 2021 bermula dari pertengahan bulan Julai hingga pertengahan bulan Oktober, di mana terdapat peningkatan aktiviti titik panas dan asap jerebu setempat selama beberapa hari di beberapa kawasan Borneo.

Walau bagaimanapun, tiada jerebu rentas sempadan yang ketara diperhatikan di rantau ASEAN Selatan dalam tempoh ini. Keadaan La Nina yang bermula pada bulan November 2021 dijangka akan berterusan sehingga awal tahun 2022.

Mesyuarat juga mengambil maklum akan usaha berterusan ASMC dalam meningkatkan keupayaan teknikalnya dalam pemantauan, penilaian dan amaran awal keadaan cuaca dan jerebu di rantau ini, serta model ramalan cuaca dan iklim dan peningkatan dalam penyampaian perkhidmatan dan jangkauan.

ASMC juga telah memaklumkan mesyuarat mengenai pelaksanakan kursus latihan dan forum teknikal yang dijalankan secara berkala sebagai sebahagian daripada Program Pembinaan Keupayaan Serantau lima tahunnya, yang juga telah dihadiri oleh 614 Rakan ASEAN.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan telah menyatakan bahawa selaras dengan wawasan ASEAN bebas jerebu 2020, Negara Brunei Darussalam telah menikmati kualiti udara yang baik di mana tiada kejadian jerebu asap rentas sempadan telah berlaku, dimana kualiti udara di negara in mencatatkan 341 hari baik (94 peratus) dan 23 hari sederhana di antara bulan Ogos 2019 hingga bulan Julai 2020 dan 456 hari baik (100 peratus) di antara bulan Ogos 2020 hingga bulan Oktober 2021.

Mesyuarat juga telah merakamkan ucapan tahniah kepada Indonesia yang telah mengadakan Persidangan ke-16 Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-16) pada 22 Oktober 2021 yang lalu.

Negara-negara MSC mengesahkan kesediaan mereka untuk memberikan bantuan seperti penempatan sumber teknikal untuk bantuan memadam kebakaran dalam situasi tindak balas kecemasan dan untuk mempertingkatkan kerjasama di antara negara MSC untuk mengurangkan kebakaran tanah dan hutan, jika diperlukan.

Mesyuarat juga bersetuju untuk menambah baik dan mengukuhkan kewaspadaan dan mengambil langkah pencegahan dan prosedur pemadaman kebakaran serta-merta untuk mengurangkan kebakaran tanah dan hutan serta kejadian jerebu rentas sempadan semasa tempoh cuaca kering, sambil memerangi wabak COVID-19.

Mesyuarat mengambil maklum dan menghargai pelbagai inisiatif dan tindakan oleh negara MSC dan kemajuan dalam pelaksanaan Kajian Strategik Program dan Aktiviti Jawatankuasa Pandu Menteri (MSC) yang merangkumi, antara lain: (i) meningkatkan pengurusan kawalan jerebu melalui amaran/pemantauan awal dan pencegahan kebakaran; (ii) membina keupayaan untuk memadam kebakaran di peringkat tempatan, kebangsaan dan serantau; (iii) kerjasama dua hala selaras dengan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP); dan (iv) meningkatkan keupayaan negara-negara ASEAN di bawah Rangkaian Latihan Jerebu Serantau.

Mesyuarat turut mengambil maklum bahawa Kajian Akhir Pelan Hala Tuju Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dengan Cara Pelaksanaan yang telah membolehkan negara-negara ASEAN melihat kemajuan dan mengekalkan momentum dalam memastikan penambahbaikan yang dapat dibuktikan untuk mencapai wawasan ASEAN Bebas Jerebu melalui cadangan Pelan Hala Tuju yang diperbaharui untuk ASEAN.

Mesyuarat juga mengalu-alukan pelaksanaan penilaian akhir Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN (APMS 2006-2020) oleh Pasukan Petugas ASEAN mengenai Tanah Gambut (ATFP). Mesyuarat mengharapkan penyediaan Pelan Hala Tuju yang seterusnya dan APMS yang baru untuk menangani punca dan implikasi pencemaran jerebu rentas sempadan melalui usaha bersepadu negara dan kerjasama serantau dan antarabangsa.

Mesyuarat mengambil maklum kepentingan dalam mempergiatkan lagi usaha untuk memuktamadkan dokumen Perjanjian Penubuhan dan Perjanjian Negara Tuan Rumah Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) di Indonesia. Mesyuarat juga mengulangi semula komitmen terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan atas perjanjian AATHP, dan mengharapkan pelaksanaan penubuhan ACC THPC dilaksanakan dengan segera.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai pencapaian dan kemajuan ketara dalam pelaksanaan program dan projek mengenai jerebu dan tanah gambut iaitu program Penggunaan Mampan Tanah Gambut dan Mitigasi Jerebu di ASEAN (SUPA) dan Tindakan Terukur ke arah Bebas Jerebu bagi Pengurusan Tanah Mampan di Asia Tenggara (MAHFSA), walaupun terdapat cabaran besar yang dihadapi semasa pandemiik COVID-19. Mesyuarat menyeru sokongan padu daripada negara-negara MSC dan agensi-agensi berkaitannya untuk menjayakan pelaksanaan aktiviti-aktiviti program tersebut di atas.

Mesyuarat merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia selaku tuan rumah Mesyuarat MSC ke-22 dan mengambil maklum mengenai Mesyuarat MSC ke-23 yang akan diadakan di Malaysia pada tahun 2022 nanti.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments