Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pemberigaan Piawai Brunei Darussalam PBD 3: 2016 (Edisi 2)

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan

1_Pemberigaan Piawai Brunei Darussalam PBD 3 2016 Edisi 2.jpeg

TIMBALAN Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, selaku Pengerusi Komiti Standard hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 November. – Kementerian Pembangunan melalui Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan dan Pusat Standard Kebangsaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengadakan majlis pemberigaan bagi Piawai Brunei Darussalam PBD 3: 2016 (Edisi Kedua) secara maya.

Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub, selaku Pengerusi Komiti Standard telah menjadi tetamu kehormat bagi majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Sr. Dayang Hajah Norhayati mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak yang berkepentingan dalam menyumbangkan kepada penyiapan penelitian semula PBD 3: 2016 (Edisi Kedua) khususnya kepada Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya, institusi-institusi akademik, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad, konsaltan, kontraktor dan pembekal daripada sektor swasta.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pusat Standard Kebangsaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi atas sokongan dan penyediaan dokumentasi yang berkaitan untuk digunakan oleh Jawatankuasa Teknikal.

Dalam hal berkaitan dengan pengemaskinian PBD 3: 2016 ini, beliau menyatakan mengenai dasar industri pembinaan di Negara Brunei Darussalam untuk mewujudkan dan menyediakan persekitaran industri pembinaan tempatan yang 'vibrant', cekap dan mampan yang boleh memenuhi permintaan perkhidmatan bagi mendokong objektif terhadap membangun ekonomi, sosial dan pembangunan yang mampan.

Bagi pihak Kementerian Pembangunan, beliau juga berharap kerjasama di antara pihak Jawatankuasa Teknikal dan pihak Kementerian Pembangunan akan terus dilaksanakan seiring dengan perubahan pasaran dan kemajuan teknologi terkini serta akan terus maju kehadapan dengan perkembangan yang progresif dalam piawaian antarabangsa demi memenuhi keperluan untuk memajukan industri pembinaan tempatan.

Sr.  Dayang Hajah Norhayati menambah, seperti yang dinyatakan di dalam Manual Pembangunan Standard Kebangsaan, semua piawaian PBD hendaklah disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun atau bila-bila masa yang difikirkan perlu oleh Jawatankuasa Standard. Beliau juga maklum bahawa PBD 2 kini dalam peringkat akhir semakan. Oleh yang demikian, beliau berharap kesemua ahli dalam Jawatankuasa Teknikal akan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan sumbangan dalam menyemak dan mengemaskini Piawai Brunei Darussalam dan terus memberikan sokongan kepada perkara-perkara yang telah dikenal pasti oleh SC Construction.

Bagi syarikat-syarikat atau orang ramai yang berhasrat untuk membeli buku PBD 3: 2016 (Edisi Kedua) ini bolehlah menghubungi Pusat Standard Kebangsaan di talian 2333964 atau e-mel nationalstandard@mofe.gov.bn, untuk membuat temujanji bagi pembelian buku tersebut dan mengambilnya di Bangunan Pusat Standard Kebangsaan di alamat Simpang 32-15, B19 Flat Kerajaan, Kampong Anggerek Desa.

Sumber: Siaran Akhbar Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan.

Attachments