Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Forum ASEAN-China bincang kesan perubahan iklim

​oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Forum ASEAN-China bincang kesan perubahan iklim.png

NEGARA Brunei Darussalam diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan disertai oleh Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi di Forum Peringkat Tinggi ASEAN-China Mengenai Kehijauan dan Pembangunan Berdayatahan dan Forum Kerjasama Alam Sekitar ASEAN-China 2021.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 26 Oktober. – Forum Peringkat Tinggi ASEAN-China mengenai Pembangunan Hijau dan Mampan, Forum Kerjasama Alam Sekitar ASEAN China 2021 telah diadakan pada 24 hingga 26 Oktober 2021 melalui sidang video yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar, Republik Rakyat China dan Kerajaan Rakyat Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.

Forum ini telah dihadiri oleh wakil peringkat tinggi dari negara-negara ASEAN, Republik Rakyat China, Setiausaha Agung ASEAN dan belia-belia dari Negara-Negara ASEAN dan Republik Rakyat China.

Di forum berkenaan, Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan disertai oleh Pegawai-Pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Forum ini bertujuan untuk melaksanakan hasil dari Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-23 dalam pemuliharaan ekologi dan perlindungan alam sekitar, memudahcara pelaksanaan Rangka Kerja Strategi dan Pelan Tindakan Kerjasama Alam Sekitar China-ASEAN (2021-2025) dan bertukar pengalaman khususnya mengenai kesan dari perubahan iklim dan pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke telah menyampaikan kenyataannya semasa Dialog Peringkat Tinggi mengenai Perubahan Iklim dan Mempromosikan Pembangunan Hijau yang mencerminkan kepentingan menangani perubahan iklim dalam mencapai negara yang berdaya tahan.

Beliau menekankan pelbagai strategi dan inisiatif yang diambil oleh Negara Brunei Darussalam untuk mengurangkan dan menyesuaikan impak perubahan iklim. Salah satu usaha tersebut ialah pengenalan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP), yang menggariskan 10 strategi utama yang akan membuka laluan ke arah Negara Brunei Darussalam yang rendah karbon dan berdaya tahan iklim.

Tambahnya, sebagai sebuah negara yang didominasi minyak dan gas, Negara Brunei Darussalam telah memberi penekanan yang besar terhadap peralihan adil sektor tenaga negara melalui penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon, pembakaran rutin sifar, dan penetapan harga karbon.

Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam juga memanfaatkan penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi dengan menanam 500,000 pokok baharu menjelang 2035.

Manakala itu, Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Martinah binti Haji Tamit telah dijemput untuk menyampaikan ucapan pembukaan semasa Sub-Forum Kepimpinan Belia ASEAN-China: Dialog Simula Menteri Alam Sekitar.

Beliau menekankan keperluan untuk pendekatan bersepadu dan holistik dalam menyelaraskan kerjasama yang berbeza, membangunkan respon yang berkesan terhadap cabaran sedemikian dalam menghadapi ketidakpastian untuk generasi akan datang.

Dayang Martinah juga berkongsi bahawa Negara Brunei Darussalam telah berjaya menganjurkan dan menjadi tuan rumah kepada Dialog ASEAN Youth on Climate Action (ASEANyouCAN) yang julung kali diadakan di mana golongan Belia ASEAN bersidang untuk membincangkan isu-isu perubahan iklim yang mendesak di seluruh rantau ini. Hasil dialog itu telah mengeluarkan Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Tindakan Belia ASEAN untuk Perubahan Iklim yang menggambarkan kedudukan kolektif mereka mengenai perubahan iklim di rantau ini.

Beliau berharap platform ASEANyouCAN akan menggalakkan dan membenarkan golongan Belia ASEAN untuk melibatkan diri, mengambil bahagian, mendidik, berkomunikasi dan menjana penyelesaian inovatif baharu untuk menangani perubahan iklim.

Para delegasi mengucapkan tahniah kepada Republik Rakyat China atas kejayaannya menjadi tuan rumah Forum Kerjasama Alam Sekitar ASEAN-China yang telah dilancarkan pada 28 Mei 2021 di Beijing, Republik Rakyat China.

Sumber: Laman Sesawang Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments