Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Koordinasi usaha kerjasama wujudkan persekitaran, iklim lestari

Siaran Akhbar: Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Oktober. – Negara Brunei Darussalam, melalui Kementerian Pembangunan, baru-baru ini menghadiri 'The 4th Forum of Ministers and Environment Authorities of Asia Pacific', dari 5 hingga 7 Oktober 2021, yang diadakan melalui platform maya.

Forum yang dianjurkan oleh Kementerian Alam Sekitar, Republik Korea dan United Nation Environment Programme (UNEP) ini, bermula dengan sesi 'Senior Officials' Roundtable Discussion on Strengthening Korea's Cooperation on Environment and Climate Change in Southeast Asia', pada 5 Oktober 2021, diikuti dengan Mesyuarat 'Senior Officials' Meeting Segment of the 4th Forum of Ministers and Environment Authorities of Asia Pacific', pada 6 Oktober 2021.

Forum Peringkat Tinggi, seterusnya dihadiri oleh para Menteri dan juga Pegawai Kanan dari lebih 41 negara Asia Pasifik, yang bertanggungjawab dalam pengurusan hal ehwal alam sekitar dan perubahan iklim.

Rombongan Negara Brunei Darussalam, diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan disertai oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd. Razak, dan juga Pegawai Kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi semasa menyampaikan kenyataannya, pada forum tersebut memaklumkan, bahawa NBD selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 juga berkongsi secara ringkas mengenai dasar dan perundangan, bertujuan untuk melindungi alam sekitar juga sumber semula jadi daripada pencemaran dan kesan perubahan iklim, yang merangkumi Dasar Perubahan Iklim Nasional Brunei yang diperkembangkan untuk membuka jalan bagi negara menuju ke negara yang rendah karbon rendah juga tahan iklim bagi masa depan.

Yang Berhormat juga mengongsikan mengenai Protokol Hijau Brunei Darussalam yang dilancarkan, pada Januari 2021, yang memastikan pelaksanaan garis panduan, bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dari tujuh kategori utama, iaitu penggunaan tenaga, penggunaan air, penggunaan kertas, penggunaan plastik, pelupusan sisa pepejal, pengurusan acara rasmi dan inisiatif penanaman pokok.

Dalam kenyataan penutupnya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menekankan, bahawa forum tersebut berfungsi sebagai platform penting bagi negara-negara Asia Pasifik untuk membangun kembali dan mengkoordinasi usaha-usaha kerjasama untuk mewujudkan persekitaran juga iklim yang lestari dan berdaya tahan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Dayang Nor Imtihan pula mengongsikan, usaha utama NBD semasa 'Senior Officials' Roundtable Discussion on Strengthening Korea's Cooperation on Environment and Climate Change in Southeast Asia' dan 'Senior Officials' Meeting Segment of the 4th Forum of Ministers and Environment Authorities of Asia Pacific'.

Dr. Dayang Nor Imtihan juga memaklumkan mengenai usaha Negara Brunei Darussalam dalam memperkuat langkah-langkah dasar, tindakan strategik, mekanisme kerjasama juga tindakan dalam memajukan perlindungan alam sekitar dan menangani masalah perubahan iklim.

Sorotan eksklusif juga disampaikan mengenai usaha teladan negara mengenai ekonomi Pekeliling, Kerjasama dua hala mengenai isu-isu, seperti ekonomi Pekeliling, sisa laut dan udara, Dasar Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan komitmen negara terhadap Nature Based Solutions.

Forum Ke-4 ini dianjurkan sebagai platform bagi negara-negara Asia Pasifik untuk berkongsi perspektif rantau ke sesi Kelima United Nations Environment Assembly (UNEA-5.2), yang akan diadakan dari 28 Februari hingga 2 Mac 2022 dan semasa Special Session of the United Nations Environment Assembly untuk Memperingati Ulang Tahun Ke-50 UNEP, yang akan diadakan, pada 3 dan 4 Mac 2022, di Nairobi, Kenya.

Forum ini juga menjadi forum bagi rakan kongsi UNEP, agensi-agensi UN, perwakilan sektor swasta, saintis, akademik dan masyarakat sivil untuk membawa perspektif juga idea dari rantau ini untuk mencapai dimensi persekitaran daripada 2030 Sustainable Development Agenda.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments