Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Mesyuarat Bersama Tenaga dan Iklim G20 Peringkat Menteri

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Mesyuarat Bersama Tenaga dan Iklim.jpg

YANG Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Tenaga semasa menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Bersama Tenaga dan Iklim G20 melalui sidang video.

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Julai. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mat Suni bin Haji Md. Hussein menghadiri Mesyuarat Bersama Tenaga dan Iklim G20 Peringkat Menteri melalui sidang video.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Awang Haji Azhar bin Haji Yahya; dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Peralihan Ekologi, Itali, Tuan Yang Terutama Roberto Cingolani dan dihadiri oleh Menteri-menteri Iklim dan Tenaga dari Negara-negara Anggota G20, negara-negara tetamu dan wakil-wakil dari pertubuhan-pertubuhan antarabangsa. Negara Brunei Darussalam diundang sebagai 'Guest of the Chair' atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN 2021.

Dalam mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menekankan bahawa rantau ASEAN secara meluas dianggap sebagai salah satu kawasan yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. Mempercepatkan mitigasi iklim dan tindakan penyesuaian, di samping menggalakkan pembangunan mampan sentiasa menjadi keutamaan dan agenda ASEAN yang didorong oleh Wawasan ASEAN dan Rangka Tindakan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN 2025.

Tambahnya, Negara Brunei Darussalam bersama rakan-rakan di seluruh ASEAN meletakkan kepentingan kepada penyelesaian berasaskan alam semula jadi untuk mengurangkan pelepasan, menangani perubahan iklim dan memperkuat daya tahan kerana rantau ini memiliki nilai penting simpanan karbon dunia. Dalam memajukan penyelesaian berasaskan alam, ASEAN akan melancarkan Inisiatif Hijau ASEAN dan Laporan Status mengenai "Investing in Sustainable Natural Capital di ASEAN" pada akhir tahun ini.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Tenaga mengongsikan bahawa ASEAN melalui Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) terus membuat kemajuan dalam mencapai matlamat keselamatan tenaga untuk mengekalkan dan melindungi perkhidmatan tenaga daripada gangguan disamping memastikan akses kepada tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua.

Yang Berhormat juga menekankan bahawa langkah ASEAN adalah melengkapi dan menyokong usaha yang dilakukan dalam forum G20, termasuk inisiatif yang dipimpin oleh Brunei, iaitu 'Deklarasi Bersama Bandar Seri Begawan mengenai Keselamatan Tenaga dan Peralihan Tenaga', yang akan diterima pakai oleh AMEM pada tahun ini. Deklarasi Bersama ini akan memberikan peluang untuk membentuk pandangan tenaga serantau dalam memastikan keselamatan semasa dan masa depan tenaga serta mempercepat peralihan tenaga ke arah masyarakat yang lebih bersedia, dinamik dan komuniti ekonomi serantau yang mampan.

G20 tahun ini yang mengetengahkan tiga tonggak, iaitu "People, Place, Prosperity" adalah bertepatan dengan tema Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN, iaitu, "We Care, We Prepare, We Prosper".

Sumber: Siaran Akhbar Bersama Kementerian Pembangunan dan Kementerian Tenaga.

Attachments