Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Inisiatif Karbon Biru kurangkan impak perubahan iklim

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

2_Inisiatif Karbon Biru kurangkan impak perubahan iklim.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan semasa aktiviti menanam pokok.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 April. – Kementerian Pembangunan melalui Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan dan BruWILD pada hari ini telah mengadakan Majlis Inisiatif Karbon Biru iaitu acara Penanaman Pokok Bakau dan Pokok Pantai yang diadakan bersempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37. Majlis bertempat di kawasan tanah lembab Api-Api, Tanjung Batu, Daerah Brunei dan Muara.

Hadir di majlis ini ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku Pengerusi Bersama Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra selaku Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim bersama ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang lainnya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; ketua-ketua Jabatan selaku agensi-agensi peneraju utama Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan dari Kementerian Pembangunan dan Jabatan Perhutanan.

1_Inisiatif Karbon Biru kurangkan impak perubahan iklim.JPG

SESI bergambar ramai.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan taklimat ringkas mengenai peranan pokok bakau dan pantai dalam mengurangkan impak perubahan iklim yang disampaikan oleh Presiden BruWILD, Dayang Liaw Lin Ji.

Seterusnya aktiviti penanaman pokok bakau dimulakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti dengan penanaman pokok beramai-ramai oleh para jemputan iaitu sejumlah 50 anak pokok bakau (Rhizophora apiculata) di kawasan tanah lembab Api-Api dan sejumlah 100 anak pokok pantai yang terdiri daripada pokok-pokok jenis Ru Laut (Casuarina equisetifolia) dan Penaga Laut (Calophyllum inophyllum).

Acara penanaman pokok ini turut mencerminkan usaha bersepadu pihak Kerajaan dalam merealisasikan salah satu matlamat Wawasan Negara 2035 di bawah Strategi Negara Hijau disamping mendokong Strategi ke 2: Liputan Hutan yang terkandung dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Penanaman pokok bakau ini merupakan julung kalinya diadakan ke arah menjayakan Kempen Penanaman 26,000 Pokok yang telah dilancarkan baru-baru ini. Ia adalah sangat signifikan memandangkan pokok bakau merupakan salah satu spesis yang mempunyai kadar ketumbuhan yang cepat serta mampu menyerap karbon sehingga lima kali lebih tinggi berbanding dengan hutan tropika. Selain itu, penanaman pokok bakau juga boleh memberikan pelindungan kepada pelbagai spesis hidupan liar dan menyediakan semaian bagi habitat laut dan sungai.

Manakala, pokok pantai pula dapat mengurangkan kelajuan angin dan melindungi pesisir pantai dari hakisan yang disebabkan oleh gelombang ribut dan arus air. Malah penanaman pokok-pokok ini juga mampu membangun daya tahan negara daripada kesan-kesan akibat perubahan iklim.

Memandangkan Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada bencana yang berkaitan dengan perubahan iklim seperti banjir, ribut kencang dan kenaikan paras air laut, amatlah penting bagi pokok bakau dan pokok pantai ini dipelihara sebagai salah satu penyelesaian yang berasaskan alam semula jadi.

Oleh itu, pihak Kementerian Pembangunan ingin menyeru agar semua pihak yang berkepentingan akan turut aktif dalam melaksanakan inisiatif seumpamanya dalam memastikan peralihan negara ke laluan yang rendah karbon dan berdaya tahan iklim tercapai.

Attachments