Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Earth Hour 2021

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 27 Mac. – Sambutan "Earth Hour" ke-15 diraikan pada 27 Mac 2021. Setiap tahun pada hari Sabtu yang terakhir bulan Mac, negara-negara di seluruh dunia bergabung dengan World Wildlife Fund (WWF) dalam memerhatikan "Earth Hour" dengan mematikan semua lampu antara pukul 8:30 dan 9:30 malam waktu tempatan.

"Earth Hour" adalah acara simbolik yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya mengurangkan kesan perubahan iklim dan mencetuskan perbincangan global untuk menangani isu perubahan iklim yang dihadapi dunia pada masa ini. Tema untuk acara tahun ini adalah "Perubahan Iklim untuk Menyelamatkan Bumi".

Untuk menyokong pergerakan global ini, Kementerian Pembangunan akan menutup lampu spotlight di Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS), Bandar Seri Begawan dan Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan dari jam 8:30 malam hingga 9:30 malam ini. Lampu jalan di Jambatan RIPAHS akan terus dinyalakan untuk keselamatan. Sambutan acara ini juga menyokong Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam untuk membentuk hala tuju Negara Brunei Darussalam ke arah menjadi sebuah Negara yang rendah karbon serta berdaya tahan iklim.

Bangunan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan juga akan mengambil bahagian dalam menutup lampu bangunan.

Menurut perkiraan dari Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, penutupan lampu di semua rumah dan bangunan di Negara Brunei Darussalam selama satu jam sahaja akan mengelakkan sebanyak 14 tan pelepasan karbon dioksida, sebanding dengan jumlah penyerapan sebanyak 282 pokok.

Attachments