Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Sesi dialog bersama Qualified Persons dan Registered Building Draughtsman

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Sesi dialog bersama Qualified Persons dan Registered Building Draughtsman.jpg

PEMANGKU Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Arefin bin Haji Jaya hadir selaku tetamu kehormat pada sesi dialog berkenaan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. – Kementerian Pembangunan melalui Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) telah mengadakan sesi taklimat dan dialog kepada Orang Yang Berkelayakan (Qualified Persons – QP) dan Tukang Pelan Yang Berdaftar (Registered Building Draughtsman – RBD) yang berdaftar di bawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) bertempat di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di sesi dialog ini ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Arefin bin Haji Jaya. Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pembangunan dan juga dari pihak yang berkepentingan.

Sesi dialog bersama QP dan RBD ini merupakan aktiviti berterusan pihak Kementerian Pembangunan di dalam menjadikannya sebagai sebuah platform perjumpaan untuk memberigakan sebarang maklumat atau perubahan yang melibatkan permohonan-permohonan kemajuan yang di proses di JPBD dan ABCi sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dengan lebih efisien, termasuk mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak berkenaan sebagai usaha bersama di dalam mengenalpasti pembaikan yang diperlukan dalam memudahcara proses permohonan kemajuan di negara ini.

Tujuan sesi dialog ini adalah untuk memaklumkan perubahan dalam penyelarasan proses serta tatacara bagi menghadapkan permohonan kemajuan bagi cadangan membina sebuah rumah berasingan iaitu satu unit sahaja yang akan mula berkuatkuasa pada 1 September 2020.

2_Sesi dialog bersama Qualified Persons dan Registered Building Draughtsman.jpg

3_Sesi dialog bersama Qualified Persons dan Registered Building Draughtsman.jpg

ANTARA yang hadir pada sesi taklimat dan dialog berkenaan.

Pihak QP dan RBD hendaklah terlebih dahulu mendapatkan pengesahan infrastruktur dari jabatan-jabatan yang berkepentingan seperti Jabatan Jalan Raya, Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Perkhidmatan Air dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik melalui e-mel sebelum mendapatkan Kebenaran Perancangan (Planning Permission) dari Autoriti Perancang dan seterusnya Kebenaran Kemajuan (Building Approval – BA), Borang C – Kebenaran Memulakan Kemajuan (Form C – Permit to Carry Out Building Works) dan Kesiapan Kemajuan (Occupation Permit – OP) dari pihak ABCi.

Keperluan untuk mendapatkan pengesahan dari jabatan berkenaan merupakan tanggungjawab QP dan RBD sebagai sebahagian dari Feasibility Study semasa penyediaan cadangan reka bentuk dalam memastikan keperluan infrastruktur secara menyeluruh adalah tersedia dan mencukupi seperti keperluan jalan laluan, penyambungan air dan elektrik, aliran longkang dan sistem pembetungan.

Lebih kurang 80 peratus permohonan kemajuan di negara ini adalah permohonan bagi membina sebuah rumah. Sasaran awal bagi proses baru ini ialah bagi permohonan membina sebuah rumah (satu unit) yang diharap akan membukakan banyak peluang untuk memiliki rumah dengan lebih mudah dan cepat, di samping memastikan kualiti kemajuan yang berdayatahan melalui penyediaan infrastruktur yang optima dan teratur.

Semasa sesi dialog ini turut dimaklumkan mengenai penyelarasan proses bagi permohonan tambahan rumah dan kemajuan lain yang tidak melibatkan parameter perancang yang akan diambil alih sepenuhnya oleh pihak ABCi bermula pada 1 September 2020 dimana sebelum ini memerlukan Kebenaran Perancangan terlebih dahulu dari pihak JPBD sebelum proses seterusnya di pihak ABCi.

Sesi dialog berkenaan turut dimuatkan dengan beberapa sesi taklimat yang disampaikan oleh beberapa jabatan yang berkepentingan iaitu Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Tanah, Jabatan Ukur, Jabatan Jalan Raya, Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Perkhidmatan Air dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

4_Sesi dialog bersama Qualified Persons dan Registered Building Draughtsman.jpg

5_Sesi dialog bersama Qualified Persons dan Registered Building Draughtsman.jpg

TAKLIMAT disampaikan oleh beberapa jabatan yang berkepentingan.

Di kesempatan ini, pihak Kementerian Pembangunan juga ingin memaklumkan mengenai jenis-jenis projek kemajuan yang dibenarkan dijalankan oleh pihak RBD iaitu satu unit rumah di dalam satu lot yang tidak melebihi dua tingkat dan keluasan lantai tidak melebihi 300 meter persegi menurut Seksyen 50G(4): Restrictions on Registered Building Draughtsman, APEQS (Amendment) Order, 2018.

Dengan adanya sesi dialog berterusan seperti ini, pihak Kementerian Pembangunan berharap ia akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para QP dan RBD dalam sama-sama meningkatkan kualiti kemajuan dan perkhidmatan kepada orang ramai bagi menjana kemajuan yang teratur, berdaya tahan serta meningkatkan mutu perkhidmatan dan prestasi pencapaian Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR).

Attachments