Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pembinaan pusat pengasingan baharu sedang dilaksanakan

​Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Pembinaan Pusat Pengasingan Baharu sedang dilaksanakan.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa di Sidang Media Status Terkini Wabak COVID-19 yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Mac.  Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan pada masa ini sedang mengendalikan pembinaan sebuah bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan baru yang terletak di Daerah Tutong iaitu berdekatan dengan Pusat Pengasingan Kebangsaan yang sedia ada pada masa ini.

Perkara ini disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa Sidang Media Status Terkini Wabak COVID-19 yang diadakan di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.

Pembinaan ini adalah bertujuan untuk menempatkan pesakit-pesakit yang telah pun disahkan positif dari jangkitan COVID-19 untuk dipantau rapi di pusat pengasingan yang baru ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Pusat Pengasingan Kebangsaan yang sedia ada pada masa ini mempunyai 136 katil sahaja dan telah mencapai lebih dari 80 peratus jumlah kapasitinya. Oleh itu, dengan meningkatnya kes-kes baru ia adalah sangat perlu untuk dibina sebuah lagi bangunan bagi menangani situasi yang dihadapi pada masa ini.

Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda telah memperkenankan bagi pembinaan pusat pengasingan kebangsaan baru di Daerah Tutong yang mana kerja-kerja pembinaannya telah bermula pada 27 Mac 2020 dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Pihak arkitek dan jurutera dari Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan telah membuat perbincangan awal bersama doktor-doktor pakar di Kementerian Kesihatan untuk meneliti beberapa aspek cadangan pembinaan ini, antara lain seperti reka-bentuk dan kemudahan-kemudahan khas yang diperlukan bagi memastikan bangunan ini dapat beroperasi sebagai pusat pengasingan dengan secepatnya.

Pembinaan bangunan pengasingan ini akan dapat menampung sekurang-kurangnya 170 katil bagi pesakit; serta penyediaan kemudahan-kemudahan khas antaranya wad pemantauan secara individu dan kluster, perkhidmatan perubatan, bilik x-ray dan beberapa kemudahan bagi kegunaan doktor dan jururawat seperti bilik on-call, bilik mesyuarat, bilik kaunseling, surau dan sebagainya.

Dengan adanya kemudahan pusat pengasingan baru ini, ia adalah diharap akan dapat membendung mana-mana penyakit berjangkit daripada merebak secara menular yang boleh membahayakan kepada orang ramai. Dalam pada itu, kemudahan-kemudahan yang dibina ini juga dapat digunapakai bagi mana-mana keperluan pihak Kementerian Kesihatan untuk menangani apa jua senario yang berkaitan dari masa ke semasa.

Dengan kerjasama pihak arkitek, kontraktor dan pembekal tempatan, serta agensi Kerajaan yang terlibat, fasiliti ini akan dapat disiapkan dengan secepatnya demi untuk menjaga kesihatan dan memastikan kesejahteraan pesakit-pesakit serta mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Sumber: Teks Sidang Media Pembinaan Bangunan Pusat Pengasingan Kebangsaan Baru di Daerah Tutong.

Attachments