Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Perubahan masa penggunaan jambatan penghubung

Oleh: Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. – Berikutan dengan pengumuman mengenai pembukaan sementara Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong melalui sidang media yang telah diadakan pada hari Isnin, 16 Mac 2020, adalah dimaklumkan bahawa masa untuk menggunakan jambatan berkenaan adalah diubah dari pukul 6:00 pagi hingga 10:00 malam sebagaimana yang telah diumumkan sebelumnya ke pukul 6:00 pagi hingga 6:00 petang sahaja setiap hari bermula hari Khamis, 19 Mac 2020.

Perubahan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengawal dan membendung penularan wabak COVID-19 dari terus merebak di negara ini. Ia juga disebabkan oleh jumlah pengguna jambatan yang tidak mempunyai keperluan adalah terlalu ramai sehingga menyebabkan jalan di kawasan Pekan Bangar penuh sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang berkunjung di gerai makan Pekan Bangar.

Adalah ditekankan bahawa pembukaan sementara Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong adalah untuk memudahkan orang ramai membuat perjalanan yang penting dan mempunyai keperluan sahaja (essential travel) seperti petugas-petugas yang terlibat dalam usaha untuk membendung COVID-19, dan juga pegawai dan kakitangan Kerajaan dan swasta yang berulang-alik dari Bandar Seri Begawan dan Temburong dan sebaliknya.

Terdapat juga penunggang motosikal yang mengambil kesempatan untuk berlumba, berhenti di tepi jalan tanpa sebab dan sebagainya. Ini boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pengguna yang lain. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan negara pada masa ini sedang menghadapi situasi yang agak kritikal dan memerlukan kerjasama yang padu daripada semua lapisan masyakarat di negara ini.

Pihak berkuasa seperti Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat rondaan dan jika didapati pengguna yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan, tindakan undang-undang akan diambil. Disamping itu, pihak-pihak yang berkuasa yang lain akan sentiasa membuat pemantauan dan akan mengkaji semula dari masa ke semasa mengikut keperluan dan penggunaan jambatan ini.

Sebarang pertanyaan dan aduan bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau pihak Bridge Maintenance Office melalui pro@pwd.gov.bn.

Sumber: Teks Sidang Media Bagi Penggunaan Sementara Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong Bagi Menangani Situasi Masa Kini Iaitu COVID-19.

Attachments