Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Berkenan meninjau lebih dekat Kementerian Pembangunan

Oleh: Rohani Haji Abdul Hamid | Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

1_Berkenan meninjau lebih dekat Kementerian Pembangunan.JPG

KEBAWAH DYMM berkenan melawat salah satu divisyen di bawah Kementerian Pembangunan.

2_Berkenan meninjau lebih dekat Kementerian Pembangunan.JPG

BAGINDA berkenan mendengarkan sembah penerangan semasa melawat ke salah sebuah divisyen di Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Januari. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di junjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Semasa lawatan berkenaan, baginda berkenan meninjau dengan lebih dekat serta menerima sembah penerangan mengenai beberapa bahagian di Kementerian Pembangunan iaitu Divisyen Guna Tanah, Perumahan dan Alam Sekitar, Divisyen Pengurusan Lembaga, Unit Kewangan, Divisyen Penyelarasan Polisi dan Pelan Strategik, Divisyen Pelaburan dan Undang-Undang, Unit Audit Dalaman, Divisyen Teknologi Maklumat, Divisyen Pengurusan Korporat, Pejabat Menteri dan Timbalan Menteri.

Sejurus selepas itu, baginda berkenan melawat ke Divisyen Pengurusan Lembaga yang antara lain berperanan menyelaras pendaftaran Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juru Ukur Bahan, Lembaga Penilai dan Ejen Hartanah dan Lembaga Pemaju Perumahan.

Divisyen itu juga berperanan memantau dan menguruskan rekod kelayakan dan amalan dan mendukung etika dan tatatertib bagi ketiga-tiga lembaga.

Kementerian Pembangunan merupakan peneraju dan dipertanggungjawabkan bagi sektor-sektor guna tanah, penyediaan infrastruktur dan alam sekitar serta memelihara serta memperoleh fizikal, memperbaiki fizikal dan aset-aset kerajaan. Oleh yang demikian, semua itu adalah bagi mendukung Wawasan Brunei 2035 terutamanya bagi menjana kualiti kehidupan penduduk yang tinggi.

Dalam mendukung wawasan negara itu, Kementerian Pembangunan akan terus menyediakan infrastruktur sosio-ekonomi seperti Skim Rancangan Perumahan Negara, prasarana jalan raya, perkhidmatan air bersih, pembentungan dan saliran sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan memberikan penekanan menangani isu-isu alam sekitar serta pengurusan sumber.

Dari Kementerian Pembangunan, Kebawah DYMM berkenan berangkat meneruskan lawatan ke Bahagian Jabatan Tanah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Ukur dan Jabatan Kemajuan Perumahan.

3_Berkenan meninjau lebih dekat Kementerian Pembangunan.JPG

BAGINDA berkenan melawat salah satu bahagian di Jabatan Tanah.

5_Berkenan meninjau lebih dekat Kementerian Pembangunan.JPG

BAGINDA berkenan mendengarkan sembah penerangan dari salah seorang pegawai di Jabatan Tanah.

4_Berkenan meninjau lebih dekat Kementerian Pembangunan.JPG

BAGINDA ketika berkenan melawat salah satu unit di Jabatan Ukur.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini bertujuan untuk memastikan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, peka terhadap isu-isu yang ditangani oleh pihak kerajaan selain berusaha mencapai serta menjayakan misi serta visi Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments