Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Berpeluang saksikan Gerhana Matahari Separa

Oleh: Nooratini Haji Abas | Foto: Azmah Haji Ahad

1_Berpeluang saksikan Gerhana Matahari Separa.jpg

SEBAHAGIAN daripada pengunjung menyaksikan gerhana matahari separa dengan menggunakan alat khas.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Disember. – Negara Brunei Darussalam mengalami fenomena Gerhana Matahari Separa yang bermula jam 12.04 tengah hari hingga 3.43 petang dan kemuncaknya pula pada jam 2.03 petang.

Seluruh penduduk negara dan Asia Tenggara berpeluang melihat bulan menutupi sebahagian daripada matahari.

Hadir menyaksikan gerhana matahari di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara tersebut, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

3_Berpeluang saksikan Gerhana Matahari Separa.jpg

HADIR menyaksikan gerhana matahari di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara tersebut, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar. (Foto: Jabatan Ukur)

Juga hadir, Timbalan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria dan Pemangku Juruukur Agung, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Arefin bin Haji Jaya.

Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dengan matahari hingga bulan akan menutupi matahari, sama ada sepenuhnya, separa, cincin atau annulus.

Bahkan, gerhana matahari penuh berlaku apabila bayangan bentuk gelap bulan menutupi sepenuhnya cahaya matahari.

Kemudian, gerhana matahari cincin atau anulus pula berlaku apabila matahari dan bulan betul-betul sebaris, akan tetapi saiz bulan kelihatan kecil daripada saiz matahari. Ini menyebabkan matahari kelihatan seolah-olah sebentuk cincin yang amat terang atau anulus, yang mengelilingi cakera bulan yang lebih gelap.

Sementara itu, gerhana separa berlaku apabila matahari dan bulan tidak sebaris. Bulan hanya menutupi matahari dengan separa atau sebahagian.

2_Berpeluang saksikan Gerhana Matahari Separa.jpg

ANAK-anak kecil juga tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan gerhana matahari separa dengan menggunakan peralatan khas yang disediakan.

Ketika ditemui, Juruukur Unit Astronomi, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman menjelaskan Gerhana Matahari Separa itu dilindungi oleh bulan dalam 86 peratus, di mana kedudukannya sebaris dengan matahari dan bumi.

Oleh itu beliau mengingatkan orang ramai untuk menggunakan kaca mata penapis atau alat pelindung apabila melihat gerhana matahari kerana jika kita melihat secara terus menerus ia akan mengakibatkan mata kita boleh menjadi buta.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments