Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kementerian Pembangunan seru agensi lain kongsi sama data-data

​Oleh:  Haniza Abdul Latif | Foto: Kementerian Pembangunan | Selasa, 17 November 2015

 IMG_0063_xl.JPG

SETIAUSAHA Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah memberi ucapan semasa Perasmian Bengkel Sistem Maklumat Geografi (GIS) sempena Hari GIS Sedunia 2015. Kementerian Pembangunan akan sentiasa mengkaji dan meneliti kesesuaian mana-mana sistem yang ada serta yang dalam perlaksanaan untuk di integrasi menjadi sistem yang bersepadu.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 November. - Kementerian Pembangunan sentiasa mengkaji dan meneliti akan kesesuaian mana-mana sistem yang ada serta yang dalam pelaksanaan untuk diintegrasi menjadi sistem bersepadu.

Perkara itu antara lain yang dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementeri Pembangunan, Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah semasa Perasmian Bengkel Sistem Maklumat Geografi (GIS) sempena Hari GIS Sedunia 2015 bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Awang Haji Muhammad Lutfi seterusnya menambah, ke arah itu, bagi langkah permulaan, kementerian telah merancang untuk mengintegrasi maklumat Perancangan Bandar dan Desa (Master Plan) dan Sistem Pengurusan Tanah yang lengkap (Land Management System) dengan Geoportal Ukur.

Dengan adanya integrasi itu nanti tambahnya, segala kerja-kerja perancangan bagi kemajuan akan dapat dilaksanakan dengan mudah dan cepat serta jabatan-jabatan berkenaan yang berkepentingan akan dapat akses dan muat-turun data-data yang diperlukan tanpa menggunakan kaedah tradisional.

''Dengan adanya titik permulaan integrasi ini nanti, adalah juga disarankan supaya agensi-agensi lain yang berkepentingan untuk mengongsikan sama data-data yang relevan untuk diintegrasikan dalam sistem ini bagi memudahkan agensi-agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat dengan cepat dan mudah dan sekali gus bagi memudahkan pihak-pihak berkepentingan untuk membuat keputusan dalam kemajuan tanah. Integrasi yang bersepadu ini juga sudah setentunya akan memudahkan lagi pihak-pihak pemaju atau pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini tanpa banyak melalui proses birokrasi yang bertindih yang mana ianya secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negara,'' jelasnya lagi.

Tambahnya, bagi mencapai hasrat itu, adalah disarankan bagi agensi-agensi kerajaan akan memainkan peranan yang penting dalam mengongsikan maklumat-maklumat tertentu dan memastikan sistem serta perisian IT infrastruktur masing-masing 'compatible' di antara satu sama yang lain supaya memudahkan dalam perkongsian dan 'muat-turun' data yang diperlukan.

 IMG_0054.JPG

SEBAHAGIAN para peserta Bengkel Hari GIS Sedunia 2015.

Hari GIS Sedunia dirai setiap tahun dalam minggu ketiga bulan November dan tema pada tahun ini ialah 'Discovering the World through GIS'.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena Hari GIS Sedunia di seluruh dunia oleh pengguna-pengguna GIS dengan mempamerkan aplikasi-aplikasi yang dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat.

Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, beberapa tahun kebelakangan ini telah menyambut Hari GIS Sedunia dengan mengadakan pameran aplikasi GIS dan mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan penuntut-penuntut menggunakan perisian GIS.

Tahun ini, Jabatan Ukur mengadakan Bengkel GIS dalam pelbagai disiplin bersempena sambutan berkenaan dengan menyasarkan kepada kakitangan jabatan-jabatan kerajaan yang mana sistem ini dapat memainkan peranan dalam memudah dan melancarkan kerja-kerja seharian.

Selain itu, ia juga mengetengahkan kepentingan pengendalian data-data GIS yang bersepadu dan yang dapat diguna sama oleh pelbagai jabatan (data sharing).

Peserta bengkel akan menghadiri sesi taklimat khas yang dihasratkan untuk memberikan pengetahuan asas GIS dan teknologi geospatial, di samping itu, mereka juga akan diperkenalkan kepada perisian yang digunakan oleh Jabatan Ukur dalam pembuatan peta dan berpeluang menggunakan perisian berkenaan dalam membuat peta tematik dengan menggunakan data-data pemetaan yang terdapat di Jabatan Ukur.

Melalui bengkel tersebut diharapkan kakitangan-kakitangan kerajaan akan lebih memahami apa dia GIS, data GIS dan penggunaannya serta akan dapat berkongsi maklumat atau data yang boleh menambah nilai ke pangkalan data Negara Brunei Darussalam.

Seramai 60 orang pegawai dan kakitangan dari 25 jabatan kerajaan dari enam kementerian berbeza menghadiri bengkel yang diadakan selama dua hari bermula hari ini sehingga 18 November 2015.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments