Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Menghadiri mesyuarat mengenai alam sekitar dan jerebu rentas sempadan

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_Menghadiri mesyuarat mengenai alam sekitar dan jerebu rentas sempadan.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa Perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME ke-15) di Siem Reap, Kemboja.

SIEM REAP, KEMBOJA, Khamis, 10 Oktober. – Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME ke‐15) dan Persidangan ke-15 Ahli‐ahli Parti Kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan telah diadakan pada 8 hingga 9 Oktober 2019 di Siem Reap, Kemboja dan dihadiri oleh Menteri‐menteri yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar serta kebakaran hutan dan lahan, dan juga jerebu, dari Persatuan Negara‐negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Setiausaha Agung ASEAN.

Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat dibuka dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi dan Kewangan, Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr. Aun Pornmoniroth, dan diikuti dengan ucapan daripada Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi, dan seterusnya ucapan ringkas daripada Menteri Alam Sekitar Kemboja, Tuan Yang Terutama Say Samal. Perwakilan dari Negara Brunei Darussalam dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan pegawai‐pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Kementerian Pembangunan. Turut menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kemboja, Tuan Yang Terutama Pengiran Kasmirhan bin Pengiran Haji Tahir.

3_Menghadiri mesyuarat mengenai alam sekitar dan jerebu rentas sempadan.jpg

4_Menghadiri mesyuarat mengenai alam sekitar dan jerebu rentas sempadan.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi dan Kewangan, Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr. Aun Pornmoniroth bersama Menteri-menteri ASEAN yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Menteri-menteri mengambil maklum mengenai pencapaian dan kemajuan dari sudut perlindungan alam sekitar di peringkat serantau dan kerjasama terhadap beberapa isu alam sekitar, khususnya tindakan‐tindakan dan inisiatif-inisiatif yang diambil ke atas kelestarian alam sekitar untuk menggalakkan kerjasama alam sekitar di rantau ini.

Semasa mesyuarat, Menteri‐menteri membincangkan, antara lain, isu-isu alam sekitar yang penting termasuk perubahan iklim, pencemaran sisa serpihan marin, bandar‐bandar yang mampan alam sekitar dan ekonomi pekeliling yang terus menjadi cabaran yang memerlukan tindakan kolektif serantau dan antarabangsa; pemeteraian Pelan Strategik ASEAN mengenai Alam Sekitar (ASPEN); dan Rangka Kerja Biodiversiti Global selepas 2020.

Menteri‐menteri mengambil maklum Kenyataan Bersama ASEAN ke Persidangan Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) 2019 yang bersidang di Persidangan Kemuncak Pertubuhan Bangsa­bangsa Bersatu 2019 pada 23 September 2019 di New York, Amerika Syarikat. Menteri‐menteri berharap Persidangan ke-25 Ahli‐ahli Parti dari sesi ke-25 (COP25) kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC), yang akan berlangsung pada 2-13 Disember di Santiago, Chile, termasuk perjumpaan pihak Indonesia dan Thailand sebagai acara sampingan semasa COP25 itu nanti akan membuahkan kejayaan. Menteri‐menteri seterusnya mengesahkan Penyata Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim kepada COP25 kepada UNFCCC untuk dipertimbangkan oleh para Pemimpin Negara.

5_Menghadiri mesyuarat mengenai alam sekitar dan jerebu rentas sempadan.png

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menyampaikan 'Country Statement'. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Menteri-menteri alam sekitar ASEAN menyedari jumlah sisa serpihan marin yang semakin meningkat, dan seterusnya mengesahkan komitmen dalam perlaksanaan Deklarasi Bangkok mengenai Mengatasi Serpihan Marin di Rantau ASEAN ('Bangkok Declaration on Combating Marine Debris in ASEAN Region') dan Rangka Tindakan ASEAN mengenai Serpihan Marin ('ASEAN Framework of Action on Marine Debris'). Menteri‐menteri mengambil maklum akan kemajuan pelaksanaan inisaitif yang berhubung-kait dengan sisa serpihan marin yang antara lainnya termasuk permulaan Projek Kerjasama ASEAN-Norwegian mengenai Pembinaan Kapasiti untuk Pengurangan Pencemaran Plastik di Rantau ASEAN (ASEAN-Norwegian Cooperation Project on Local Capacity Building for Reducing Plastic Pollution in the ASEAN Region), Projek ASEAN-Japan mengenai Peningkatan Kapasiti mengenai Pengurangan Serpihan Marin di Rantau ASEAN (ASEAN-Japan Project on Strengthening Capacity for Marine Debris Reduction in ASEAN region), Perkongsian / ASEAN-EU mengenai Ekonomi Sirkular (ASEAN-EU Partnership on Circular Economy), dan Projek ASEAN-World Bank PROBLUE mengenai Serpihan Marin (ASEAN‐World Bank PROBLUE Project on Marine Debris).

Menteri‐menteri menyampaikan Anugerah ASEAN Eco‐Schools untuk kali ke-3 kepada sekolah‐sekolah yang terpilih dari Negara-negara Anggota ASEAN, dan buat pertama kalinya bagi Anugerah ASEAN Youth‐Eco Champions bagi individu-individu yang terpilih dari negara‐negara anggota ASEAN, bersempena dengan Hari Alam Sekitar ASEAN 2019.

7_Menghadiri mesyuarat mengenai alam sekitar dan jerebu rentas sempadan.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi bersama para penerima Anugerah ASEAN Eco-Schools dan Anugerah ASEAN Youth Eco-Champions.

Bagi Brunei Darussalam, Anugerah ASEAN Eco­Schools telah diberikan kepada Sekolah Rendah Muda Hashim Tutong bagi Kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar bagi Kategori Sekolah Menengah. Bagi Anugerah ASEAN Youth Eco‐Champions telah diberikan kepada Dayang Amal Afifah binti Haji Rusali (mewakili Brunei Environment Youth Envoys) bagi Kategori Junior dan Dayang Liaw Lin Ji (mewakili BruWILD) bagi Kategori Senior.

Melalui program-program anugerah ini, Menteri‐menteri mengambil maklum akan usaha yang dapat dijadikan contoh kepada sekolah‐sekolah dan belia yang lainnya dalam menanamkan kesedaran alam sekitar di masyarakat sekeliling dan juga dalam menyokong pembangunan mampan di rantau ini. Di samping itu, Menteri-menteri turut mengambil maklum mengenai penyertaan belia di Forum Belia Alam Sekitar ASEAN+3 (ASEAN+3 Youth Environment Forum) di Bangkok, Thailand, yang menjadi satu platform tambahan untuk mempromosikan dan memperkasakan peranan belia sebagai juara di rantau ini dalam perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar.

Pada mesyuarat seterusnya, Menteri-menteri juga membincangkan kajian semula pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), pembaruan mengenai penubuhan Pusat Penyelarasan Jerebu ASEAN (ACC THPC), kemajuan pelaksanaan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN (APMS 2006-2020) menerusi Program ASEAN mengenai Pengurusan Mampan Ekosistem Gambut (APSMPE 2014-2020).

Menteri-menteri alam sekitar ASEAN menyuarakan kebimbangan mengenai kejadian jerebu yang teruk dan tersebar luas yang berlaku baru‐baru ini, yang mana telah menjejaskan beberapa buah negara di sebelah utara dan selatan ASEAN. Menteri-menteri juga turut menyatakan rasa simpati kepada berjuta‐juta orang yang terjejas oleh kejadian jerebu tersebut. Menteri‐menteri mengambil maklum dan menghargai atas usaha yang diungkayahkan oleh negara‐negara ASEAN, serta bantuan yang ditawarkan untuk menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu.

Menteri-menteri mengambil maklum mengenai laporan dari pihak Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASEAN Specialized Meteorological Center (ASMC)) mengenai cuaca yang lebih kering berbanding biasa di beberapa bahagian wilayah selatan ASEAN tahun ini. Bagi tempoh sehingga penghujung tahun 2019, ASMC meramalkan keadaan akan menjadi neutral (bukan El-Niño mahupun La-Niña) secara berterusan sehingga penghujung tahun ini, dan keadaan lebih kering dari biasa dijangka berlaku di beberapa kawasan di rantau ASEAN, terutamanya di rantau ASEAN selatan. Akan tetapi keadaan cuaca dijangka akan kembali kepada hampir normal pada bulan Disember. ASMC juga meramalkan keadaan yang lebih panas berbanding biasa di kawasan rantau ASEAN. Negara-negara Anggota ASEAN berikrar untuk terus berwaspada dan terus memantau dan meningkatkan usaha pencegahan jerebu mereka untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya jerebu merentas sempadan dari kebakaran hutan dan lahan sepanjang tempoh cuaca kering.

Menteri-menteri mengesahkan semula komitmen melalui usaha-usaha nasional yang bersepadu dan kerjasama serantau untuk melaksanakan AATHP dan Peta Jalan Mengenai Kerjasama ASEAN ke Arah Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan dengan Tatacara Pelaksanaan (Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation) secara efektif demi mencapai ASEAN Bebas Jerebu menjelang tahun 2020.

Menteri-menteri memberi pujian kepada Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution) dalam mengesahkan semula kesediaan mereka untuk memberikan bantuan seperti mengerahkan sumber teknikal untuk memadam kebakaran dalam situasi tindakbalas kecemasan jika diperlukan, dan untuk bekerjasama di kalangan negara‐negara anggota MSC dengan kerjasama dan penyelarasan yang lebih baik untuk mengurus dan mengurangkan kebakaran lahan dan hutan, bila diperlukan. Menteri-menteri mengambil maklum dengan menghargai mengenai perkongsian maklumat titik panas ('hotspot') di kalangan negara‐negara anggota MSC dan menyokong seruan bagi tindakan cepat dan tepat dari agensi‐agensi nasional dan tempatan untuk mencegah kebakaran lahan dan / atau pencemaran jerebu yang mengakibatkan kebakaran.

 6_Menghadiri mesyuarat mengenai alam sekitar dan jerebu rentas sempadan.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Kemboja, Tuan Yang Terutama Pengiran Kasmirhan bin Pengiran Haji Tahir; dengan pegawai-pegawai kanan yang menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN ke-15 mengenai Alam Sekitar (AMME ke-15) di Siem Reap, Kemboja.

Menteri-menteri ASEAN turut berjumpa dengan rakan‐rakan dialog dari Negara‐negara 'Plus Three' –Republik Rakyat China, Jepun, dan Republik Korea) pada Dialog Peringkat Menteri ASEAN-Jepun mengenai Kerjasama Alam Sekitar dan Mesyuarat ke-16 Menteri‐menteri Alam Sekitar ASEAN+3 pada 9 Oktober 2019, yang mana antaranya ialah mengkaji semula aktiviti‐aktiviti semasa dan membincangkan kerjasama strategik masa hadapan dalam bidang yang antara lainnya termasuk biodiversiti, perubahan iklim, pendidikan alam sekitar, sains persekitaran dan teknologi, dan bandar yang mampan.

Menteri‐menteri bersetuju untuk bertemu semula di Filipina pada tahun 2020 sempena Mesyuarat ke-16 Persidangan bagi Pihak-pihak Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, dan di Indonesia pada tahun 2021 di Mesyuarat Menteri­menteri Alam Sekitar ASEAN ke‐16, dan Mesyuarat ke‐17 dan Mesyuarat ke-17 Persidangan bagi Pihak-pihak Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.

Attachments