Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Muzakarah Projek Jambatan Temburong; Wadah menjaga keselamatan bersama

​​Oleh: Haniza Abdul Latif | Foto: Mohd Sahrizal Haji Said | Jumaat, 13 November 2015

51c947add02696dba5fa230b5a9d5f14_XL.jpg​​
TIMBALAN Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin semasa berucap pada Sesi Cadangan Muzakarah Projek Jambatan Temburong bersama penduduk Kampung Serasa.

MUARA, Jumaat, 13 November. - Sesi Muzakarah Cadangan Projek Jambatan Temburong diteruskan lagi hari ini di Dewan Serbaguna, Balai Polis Muara, bagi penduduk kawasan yang terlibat khususnya bagi penduduk Kampung Serasa.

Hadir pada sesi muzakarah tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Gapor @ Haji Daud bin Karim, selaku Ketua Kampung Belimbing; pengulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta penduduk-penduduk yang terlibat.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah beramai-ramai dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Jamil bin Haji Abd Ghani.

Dalam ucapan alu-aluan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin antara lain menjelaskan, Projek Pembinaan Jambatan Temburong adalah salah satu projek utama yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Tambahnya, dengan terbinanya jambatan ini, ia akan menghubung Daerah Temburong dengan Daerah Brunei-Muara dan seterusnya ke daerah-daerah lain diseluruh negara melalui pembinaan jambatan dan jalan sepanjang lebih kurang 30 kilometer.

Menurutnya, sesi muzakarah pada pagi ini bertujuan untuk mengongsikan maklumat dan membarigakan Projek Jambatan Temburong dan seterusnya membuka ruang bagi sesi soal jawab di antara agensi-agensi kerajaan yang berkepentingan dengan masyarakat dan penduduk di sekitar kawasan yang terlibat.

131115_RIZAL02_MUZAKARAH_muzakarah_projek_jambatan_temburong_wadah_menjaga_kesejahteraan_bersama.jpg
TIMBALAN Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin menjelaskan projek pembinaan Jambatan Temburong adalah salah satu projek utama yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ujarnya lagi, adalah dihasratkan juga bagi sesi pemuzakarahan ini untuk menjadi wadah kerajaan bagi sama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, terutama sekali bagi penduduk-penduduk kawasan yang terlibat dengan pembinaan Projek Jambatan Temburong ini.

Sementara itu, Jurutera dari Bahagian Urusetia Projek Jambatan Temburong, Jabatan Kerja Raya, Dr. Roslina bin Haji Abd Karim pula menjelaskan tentang status-status Cadangan Projek Jambatan Temburong.

Semasa sesi muzakarah itu juga ditayangkan klip video mengenai proses kerja pembinaan serta sesi soal jawab bagi penduduk kampung yang terlibat.

Cadangan Projek Jambatan Temburong merupakan salah satu projek kebangsaan terbesar yang dianggarkan mempunyai kepanjangan 30km dan akan menjadi penghubung kepada Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei dan Muara dengan Jalan Labu Estet di Daerah Temburong, merentasi Teluk Brunei.

Pembinaan jambatan tersebut dijangka mengambil masa selama 48 bulan yang melibatkan konsultan-konsultan dan syarikat-syarikat pembinaan tempatan serta antarabangsa.

Pemuzakarahan serupa juga akan diadakan khususnya di kawasan-kawasan yang terjejas khasnya bagi penduduk Daerah Temburong pada 21 November nanti.

Dengan adanya pemuzakarahan itu diharapkan akan dapat menangani beberapa isu yang bersangkut-paut dengan keselamatan, kesihatan dan keselesaan orang ramai, lalu lintas, kecemasan dan sebagainya di sepanjang proses pembinaan Cadangan Projek Jambatan Temburong berkenaan.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments