Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kualiti udara masih di tahap sederhana

Siaran Akhbar Bersama: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan; Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 September. – Negara Brunei Darussalam sedang mengalami keadaan cuaca kering dan berjerebu. Ini disebabkan oleh asap jerebu yang berasal dari bahagian Selatan Borneo seperti yang ditunjukkan oleh titik-titik panas yang dikesan melalui imej satelit. Asap jerebu dibawa oleh angin dari arah Barat Daya menuju ke Negara Brunei Darussalam.

Imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) hari ini menunjukkan sebanyak 470 titik panas telah dikesan di sebelah Selatan dan Barat Kepulauan Borneo.

Kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah adalah tinggi berbanding dengan hari-hari biasa.

Bagaimanapun, kualiti udara bagi Negara Brunei Darussalam keseluruhannya adalah di tahap sederhana.

Bacaan indeks pencemaran (PSI) pada jam 4.00 petang bagi Daerah Brunei dan Muara adalah 51; Belait 68; Temburong 54 dan Tutong 61.

1_Kualiti udara masih di tahap sederhana.jpg

Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara baik. Bacaan PSI di antara 51 dan 100 adalah sederhana.

Kementerian Kesihatan terus menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 51 dan 100), bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar, manakala kanak-kanak, warga tua dan seseorang yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) sentiasa terus memantau situasi dari masa ke semasa. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB dan laman web jabatan.

Dalam pada itu, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran rumput dan hutan. Orang ramai juga adalah digesa untuk melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat jika terjadinya kebakaran rumput dan hutan di talian Hotline 995.

Orang ramai bolehlah menghubungi JASTRe untuk aduan pembakaran terbuka dan pertanyaan mengenai dengan kualiti udara di Talian Darussalam 123 dan 2241262 sambungan 4405 semasa waktu bekerja.

Maklumat mengenai dengan bacaan PSI juga boleh didapati di laman web www.env.gov.bn, manakala maklumat dan nasihat kesihatan juga boleh diperoleh dengan melayari laman web www.moh.gov.bn.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dan juga ramalan cuaca dengan melayari laman web www.met.gov.bn atau mengikuti Facebook dan Instagram @bruneiweather dan memuat turun aplikasi bimbit Brunei WX.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments