Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kualiti udara terkini di tahap sederhana

Siaran Akhbar Bersama: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Kesihatan; Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 September. – Negara Brunei Darussalam pada masa ini mengalami keadaan berjerebu yang disebabkan oleh sejumlah titik panas akibat dari kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di Kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke Negara Brunei Darussalam.

Imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 13 September 2019, menunjukkan sebanyak 1,102 titik panas dan pada 14 September 2019 pula sebanyak 1,786 titik panas yang mana telah dikesan di sebelah Selatan dan Barat Kepulauan Borneo.

Kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah adalah tinggi berbanding dengan hari-hari biasa. Kualiti udara bagi Negara Brunei Darussalam keseluruhannya adalah di tahap sederhana.

Bacaan indeks pencemaran (PSI) hari ini pada jam 4.00 petang dicatatkan di keempat-empat daerah ialah di Daerah Brunei dan Muara PSI adalah 75; Daerah Belait 83; Temburong 54 dan Tutong 80. Sementara kualiti udara di keempat daerah adalah di tahap sederhana.

1_Kualiti udara terkini di tahap sederhana.jpg

Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara baik manakala PSI di antara 51 dan 100 adalah sederhana.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 51 dan 100), bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar, manakala kanak-kanak, warga tua dan seseorang yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) sentiasa terus memantau situasi dari masa ke semasa. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB dan laman sesawang jabatan.

Dalam pada itu, orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran rumput dan hutan dan digesa untuk melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) jika terjadinya kebakaran rumput dan hutan melalui Talian Hotline JBP 995.

Orang ramai juga menghubungi JASTRe untuk aduan pembakaran terbuka dan pertanyaan mengenai dengan kualiti udara di Talian Darussalam 123 dan +673 2241262 sambungan 4405 semasa waktu bekerja.

Maklumat mengenai dengan bacaan PSI juga boleh didapati di laman sesawang www.env.gov.bn, manakala maklumat dan nasihat kesihatan juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.moh.gov.bn.

Sementara maklumat mengenai ramalan kaji cuaca boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di www.met.gov.bn.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments