Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Pembukaan kawasan penanaman padi komersial

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

3_Pembukaan kawasan penanaman padi komersial.JPG

YANG Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa meninjau secara lebih dekat untuk melihat perkembangan kerja-kerja penyediaan infrastruktur di kawasan tapak Projek Penanaman Padi Kandol, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

LABI, Khamis, 18 Julai. – Majlis Doa Selamat bagi memohon ke hadrat Allah Subahanahu Wata'ala agar kerja-kerja infrastruktur bagi projek penanaman padi berkeluasan 500 hektar berjalan dengan sempurna telah diadakan di kawasan tapak Projek Penanaman Padi Kandol, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Hadir pada Majlis Doa Selamat tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

1_Pembukaan kawasan penanaman padi komersial.JPG

ANTARA Menteri-menteri, Pemangku Menteri serta Timbalan Menteri semasa hadir di Majlis Doa Selamat yang diadakan di kawasan tapak Projek Penanaman Padi Kandol, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.

Pembukaan kawasan Kandol sebagai kawasan penanaman padi baru adalah berikutan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika merasmikan Majlis Ilmu 2018 pada 27 November 2018 lalu, yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan projek pembukaan kawasan baharu ini bagi penanaman padi secara komersial yang berkeluasan 500 hektar, yang akan dilengkapi dengan infrastruktur-infrastruktur yang bersesuaian.

Ke arah melaksanakan Projek Pembukaan Kawasan Penanaman Padi Secara Komersial berkeluasan 500 hektar di kawasan Kandol, Daerah Belait ini, beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan, iaitu Jawatankuasa Tertinggi Projek Pembukaan Kawasan Penanaman Padi Secara Komersial Berkeluasan 500 Hektar, Kawasan Kandol, Daerah Belait dipengerusikan bersama oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; dan Menteri Pembangunan.

Manakala, Jawatankuasa Teknikal dan Infrastruktur Projek dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan sementara Jawatankuasa Operasi dan Pelaburan Projek dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan taklimat ringkas mengenai perkembangan projek yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Salleh bin Haji Karim, yang juga selaku Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Infrastruktur Projek Pembukaan Kawasan Penanaman Padi Secara Komersial Berkeluasan 500 Hektar, Kawasan Kandol, Daerah Belait.

2_Pembukaan kawasan penanaman padi komersial.JPG

TAKLIMAT ringkas mengenai perkembangan projek disampaikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Salleh bin Haji Karim, yang juga selaku Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Infrastruktur Projek Pembukaan Kawasan Penanaman Padi Secara Komersial Berkeluasan 500 Hektar, Kawasan Kandol, Daerah Belait.

Bagi memohon ke hadrat Allah Subahanahu Wata'ala agar kerja-kerja infrastruktur bagi projek penanaman padi berkeluasan 500 hektar di kawasan Kandol, Daerah Belait berjalan dengan sempurna, doa selamat dibacakan oleh Pegawai Buhuts, Pejabat Mufti Kerajaan, Awang Haji Martino @ Abdul Azim bin Haji Ahmad.

Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Projek bersama dengan para jemputan yang lain kemudiannya dibawa meninjau secara lebih dekat untuk melihat perkembangan kerja-kerja penyediaan infrastruktur di atas tapak projek berkenaan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid bin Haji Awang Mumin yang juga selaku Penghulu Mukim Liang Zon 1, Daerah Belait.

Attachments