Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Brunei sambut Aidilfitri, Khamis 6 Jun

Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

1_Brunei sambut Aidilfitri, Khamis 6 Jun.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar bersedia melakukan pencerapan anak bulan Syawal di Menara Ibu Pejabat DST.

TUNGKU LINK, Selasa, 4 Jun. – Negara Brunei Darussalam akan mula meraikan Hari Raya Aidilfitri, 1 Syawal 1440 Hijrah Khamis ini, 6 Jun 2019 berikutan anak bulan Syawal atau Hilal Syawal tidak sahih kelihatan setelah rukyah dilakukan di beberapa lokasi di negara ini lewat petang ini.

Pengumuman mengenai hasil pencerapan anak bulan Syawal berkenaan juga disiarkan ke seluruh negara melalui Radio Televisyen Brunei (RTB).

Sehubungan itu, antara lokasi Pencerapan Anak Bulan Syawal bagi Daerah Brunei dan Muara ialah di Menara Ibu Pejabat Data Stream Technology (DST) yang dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Juga hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin serta Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap kerajaan.

Majlis petang itu dimulakan dengan bacaan Wirid dan Zikir yang dikepalai oleh Pegawai Ugama Kanan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Awang Haji Harus bin Haji Suboh diikuti dengan taklimat ringkas daripada Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Awang Haji Sahrin bin Haji Kadih yang antara lain menegaskan kepada yang hadir agar tidak menyebarkan atau membuat penularan (viral) apa-apa yang berlaku sepanjang aktiviti pencerapan bagi mengelak tohmahan atau fitnah yang timbul oleh mereka yang tidak memahami tugas yang dijalankan.

Awang Haji Sahrin juga mengharapkan kepada semua pegawai yang ditugaskan akan dapat memberikan kerjasama dan fokus dengan sepenuh perhatian terhadap aktiviti pencerapan berkenaan.

Sementara itu Juruukur, Awang Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman menerangkan ijtimak berlalu pada jam 6.03 petang dan umur hilal adalah 24 jam dan 27 minit. Hilal terbenam sekitar jam 7.24 malam dan hilal ufuk selepas terbenam ialah selama 54 minit. Tambahnya, jarak bumi dan hilal adalah 373772.68 KM.

Manakala Pegawai Kajicuaca, Mohammad Affindi bin Haji Sabli dalam taklimat ringkasnya antara lain menganggarkan ketinggian awan dalam sekitar 8,000 meter, ianya terkandung di antara ketinggian awan rendah sehingga awan tinggi.

Ramalan kali ini juga adalah berawan dengan hujan berasingan dan anak bulan Syawal tidak sabit kelihatan.

2_Brunei sambut Aidilfitri, Khamis 6 Jun.JPG

PEGAWAI dan kakitangan daripada Jabatan Ukur membuat persediaan bagi penglihatan anak bulan Syawal di Menara Ibu Pejabat DST.

Sementara pada pencerapan yang diadakan di Bukit Agok, Jerudong, dihadiri oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Mohammad Shah bin Haji Taib.

Di sini, majlis bermula dengan sesi taklimat mengenai adab serta etika semasa pencerapan anak bulan yang disampaikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan diikuti dengan taklimat ringkas mengenai kedudukan hilal pada petang tersebut yang disampaikan oleh Juruukur, Haji Muhammad Hifney bin Haji Abdul Rahman.

Pencerapan yang dilakukan di Bukit Agok juga tidak berhasil melihat anak bulan Syawal 1440 Hijrah bersamaan 2019 Masihi.

Oleh kerana hilal anak bulan Syawal tidak kelihatan, puasa Ramadan bagi umat Islam di negara ini digenapkan 30 hari.

Sumber: Pelita Brunei.

Foto: Kementerian Pembangunan.

Attachments