Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Lawatan ke tapak-tapak projek

​Oleh: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

2_Lawatan ke Tapak-Tapak Projek.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa merasmikan pembukaan jalan keluar / masuk ke kawasan Perumahan Mengkubau.

1_Lawatan ke Tapak-Tapak Projek.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menyempurnakan peletakan batu asas bagi projek pembinaan jejambat di Persimpangan Jalan Muara.

BRUNEI MUARA, Selasa, 30 April. – Projek pembinaan jalan alternatif menghubungkan Jalan Telanai dengan Jalan Dadap telah sempurna dirasmikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar sebagai menandakan bermula penggunaan jalan tersebut kepada orang ramai bermula jam 9.00 pagi tadi.

Projek yang dibina di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 (RKN10) sepanjang 3.2 kilometer mula dibina pada bulan Mac 2016 bernilai BND4.9 juta menyediakan laluan pintas bagi penduduk sekitar Jalan Gadong dan Jalan Dadap serta membuka peluang perkembangan sosioekonomi sekitar. Jalan tersebut turut dilengkapi dengan lampu isyarat di persimpangan Jalan Telanai, lampu jalan, petunjuk tanda-tanda jalan serta beberapa persimpangan menghubung ke jalan-jalan sedia ada.

Terdahulu rombongan Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut menyelusuri jalan yang baharu dirasmikan penggunaannya sebelum meneruskan program lawatan ke tapak Projek Pembinaan Jejambat di persimpangan Jalan Utama Mentiri dan Jalan Penghubung Tanah Jambu. Projek pembinaan jejambat tersebut yang sedang giat dilaksanakan merupakan projek di bawah RKN11 yang menelan belanja sekitar BND19.9 juta, melibatkan pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu dan Persimpangan Jalan Muara ke Jalan Utama Menteri sepanjang kira-kira 2 kilometer serta pembinaan dua buah jejambat yang merentasi Jalan Muara menuju ke Lebuhraya Muara-Tutong yang akan dijangka siap menjelang bulan Julai 2021.

Semasa lawatan tersebut Yang Berhormat turut menyempurnakan peletakan batu asas pembinaan jejambat di persimpangan Jalan Muara tersebut dan mendengarkan taklimat ringkas daripada Pemangku Pengarah Jalan Raya, Awang Haji Mazlan bin Haji Abdul Salim. Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Mentiri, Awang Haji Tohara bin Haji Ongsang.

Seterusnya rombongan Yang Berhormat beredar bagi pembukaan jalan keluar dan masuk kawasan Perumahan Mengkubau menuju Pusat Bandar melalui jejambat Persimpangan Jalan Utama Mentiri yang telah siap dibina dengan hasrat ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusing keliling Kota Batu / Jalan Utama Mentiri semasa waktu kesesakan.

Turut hadir dan menyertai rombongan lawatan ke tapak-tapak projek ini ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Foto: Kementerian Pembangunan.

Attachments