Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Bentuk masyarakat literasi alam sekitar

Berita: Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

1_Sambutan Hari Bumi 2019.JPG

YANG Berhormat Menteri Pembangunan ketika berucap semasa Majlis Sambutan Hari Bumi 2019.

BERAKAS, Isnin, 22 April. – Program pendidikan mengenai alam sekitar adalah sangat penting dan mestilah dilakukan secara berterusan dan disesuaikan dengan kehendak generasi.

Pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) secara berterusan telah banyak membuat aktiviti-aktiviti atau program-program berasaskan pendekatan menyeluruh mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar kepada penuntut-penuntut sekolah di semua peringkat.

Aktiviti-aktiviti alam sekitar yang berulang-ulang di sekolah-sekolah diharap akan dapat membentuk satu budaya kelestarian alam sekitar dalam usaha untuk membudayakan nilai murni alam sekitar supaya ia sebati dalam jiwa mereka agar menjadi masyarakat yang literasi kepada alam sekitar.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa Majlis Sambutan Hari Bumi 2019, berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, Berakas, di sini.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, pendidikan dan kesedaran tersebut perlulah dilakukan secara berterusan di semua peringkat agar masyarakat sentiasa menghargai dan minat mencintai alam sekitar.

Menyentuh mengenai inisiatif setiap hari tanpa beg plastik, Yang Berhormat menyatakan Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan satu pencapaian yang boleh dibanggakan, di mana inisiatif tersebut berjaya dilaksanakan setiap hari di kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan yang ikut serta.

Sejak inisiatif tersebut dilancarkan sempena Sambutan Hari Bumi tahun lepas, ujar Yang Berhormat lagi, pihak JASTRe mengungkayahkan beberapa aktiviti dalam proses untuk membarigakan inisiatif berkenaan kepada orang ramai seperti Kuiz Radio dengan usaha sama RTB, Pertandingan Poster Setiap Hari Tanpa Beg Plastik dan Produksi / Pembuatan Video Animasi Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik.

Semua itu, jelas Yang Berhormat merupakan antara usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan lagi kesedaran orang ramai akan pentingnya untuk menjaga alam sekitar dan menyemai rasa tanggungjawab setiap individu untuk memainkan peranan masing-masing dalam penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Sumber: Pelita Brunei.

Foto: Kementerian Pembangunan.

Attachments