Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

545 penerima dikurniakan anak kunci rumah

Oleh: Siaran Akhbar Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 18 Februari. – Seramai 545 orang dianugerahkan anak-anak kunci rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei dan Muara pagi tadi. Majlis Penyempurnaan Penganugerahan anak-anak kunci berkenaan berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Canselor UBD dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mohd Shah bin Haji Taip, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Mulia Pegawai Brunei dan Muara.

Dari jumlah 545 orang penerima berkenaan, seramai 489 orang menerima rumah jenis kluster dibawah RPN Lugu, selebihnya menerima rumah jenis teres iaitu 24 orang dibawah RPN Panchor (Mengkubau), 10 orang dibawah RPN Meragang, 3 orang dibawah RPN Tanah Jambu dan 19 orang dibawah STKRJ Kampong Lugu. Bagi memberkati majlis doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara.

Pada majlis penyempurnaan penganugerahan anak-anak kunci rumah kali ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menumpukan lawatan baginda ke dua buah institusi pendidikan tinggi yang terdapat di kawasan berkenaan. Terdahulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia membuat lawatan ke Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB), UBD.

Bagi mencapai visi menjadikannya antara institusi sains kesihatan terkemuka di Asia, institut berkenan telah berkembang luas dengan menyediakan berbagai kursus latihan, menjalankan penyelidikan impak yang tinggi untuk mencapai kualiti yang diiktiraf secara global.

Latihan-latihan yang dikendalikan oleh Institut Sains Kesihatan PAPRSB akan dikendalikan sepanjang tahun dengan sasaran latihan berkenaan berjaya menghasilkan profesional kesihatan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan Negara Brunei Darussalam.

Institut Sains Kesihatan PAPRSB juga mencatatkan mercu tanda penting dalam sejarahnya apabila ia diiktiraf serta dikenali sebagai salah satu daripada Pusat Latihan Antarabangsa American Heart Association (AHA). Institut berkenaan boleh melaksanakan kursus-kursus pertolongan cemas yang diiktiraf termasuk AHA Certified First Aid, Basic Life Support (BLS), Heart Saver, Advance Cardiac Life Support (ACLS) dan Pediatric Advanced Life Support (PALS).

Dari UBD, Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan ke Universiti Teknologi Brunei (UTB). UTB telah di naik taraf sebagai sebuah institusi yang bertaraf lima bintang, berdasarkan sistem penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating yang mana UTB memperolehi lima bintang dalam enam daripada tujuh kategori penilaian iaitu Pengajaran (Teaching), Kebolehpasaran (Employability), Pengantarabangsaan (Internationalisation), Prasarana (Facilities), Tanggungjawab Kemasyarakatan (Social Responsibility) dan Kerangkuman (Inclusiveness). Pencapaian ini juga menjadikan UTB sebagai sebuah universiti terunggul di Negara Brunei Darussalam yang mendapat penilaian daripada QS Star.

Secara keseluruhan pada masa ini, UTB mempunyai Iebih 1,400 pelajar dimana 594 orang pelajar mengikuti Fakulti Kejuruteraan; 288 orang pelajar dalam Fakulti Perdagangan; 262 orang pelajar dalam Fakulti Pengkomputeraan & Informatik, 71 orang pelajar Fakulti Gunaan Sains & Matematik; 50 orang pelajar mengikuti Fakulti Rekabentuk dan 230 orang pelajar mengikuti Pasca Siswazah.

Dengan lawatan ke institusi-institusi berkenaan membuktikan baginda terus memberikan perhatian mengenai perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini selaras dengan Wawasan Negara 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

Selesai membuat lawatan di UTB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenaan berangkat ke rumah Ketua Kampong Jerudong/Pemangku Ketua Kampong Jerudong (Peninjau), Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rais bin Haji Ishak. Pada keluasan 60 kilometer persegi, Kampong Jerudong ini mempunyai jumlah penduduk seramai 11 ribu orang dan Iebih 1,000 buah rumah secara keseluruhan.

Dari kediaman Ketua Kampong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia meneruskan lawatan baginda ke rumah-rumah penerima anak-anak kunci di bawah RPN Lugu, Mukim Sengkurong;

a) Yang Mulia Awang Mohammad Hilmi bin Haji Wasli di Lot 72949, No. 10, Simpang 43-3-44, Jalan Lasuk (Neighborhood B, Zone B);

b) Yang Mulia Dayang Hajah Adri Alieana binti Haji Mohd Alias di Lot 72950, No. 12, Simpang 43-3-44, Jalan Lasuk (Neighborhood B, Zone B);

c) Yang Mulia Dayang Mazlina binti Jaludin di Lot 72611, No. 78, Simpang 46-4-57, Jalan Lasuk (Neighborhood A, Zone B); dan

d) Yang Mulia Awang Nordin bin Haji Bakar di Lot 72609, No. 74, Simpang 46-4-57, Jalan Lasuk (Neighborhood A, Zone B).

Pada keluasan 130 meter persegi, setiap unit rumah kluster di kawasan RPN Lugu ini mempunyai empat bilik tidur, bilik mandi dan dapur. Secara keseluruhan perumahan di kawasan RPN Lugu ini mempunyai 1,000 unit rumah jenis kluster. Kawasan perumahan ini merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam di masa hadapan seperti sekolah, masjid, taman dan kawasan rekreasi dan taman permainan.

Sejak Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1984 di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, rakyat dan penduduk di negara ini telah dan terus menikmati berbagai kemudahan antaranya penyediaan perumahan. lni jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian baginda kepada rakyat dan penduduk negara ini dan membuktikan komitmen Kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita baginda khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mampu dimiliki selaras dengan salah satu objektif Rancangan Kemajuan Negara (RKN) untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Menurut perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan hingga ke hari ini, lebih 28 ribu buah rumah dan lot tanah di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) seluruh negara telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan. Dari jumlah berkenaan, 18,699 orang adalah pemohon di Daerah Brunei dan Muara; 6,581 orang pemohon di Daerah Belait; 2,695 orang pemohon di Daerah Tutong dan juga 635 orang pemohon di Daerah Temburong.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan ketika ini sedang menjalankan penilaian 'review' secara menyeluruh mengenai Skim Perumahan Negara bagi memastikannya dapat berdaya tahan dalam memenuhi permohonan yang semakin meningkat dari tahun kesetahun.

Antara strategi jangka panjang berkenaan termasuk penggunaan tanah secara optima bagi meningkatkan bilangan penghasilan rumah, kini dapat dilihat pelbagai perubahan dari segi penyediaan bentuk perumahan umpamanya pembinaan rumah jenis 'cluster housing' dan 'vertical housing'.

Attachments