Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kagumi perancangan penempatan Kampong Ayer

Berita: Hernie Suliana Haji Othman | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Lawatan JPBW Sabah ke TMJE dan Kampong Ayer.jpg

SETIAUSAHA Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Hajah Masnah binti Matsalleh serta sebahagian daripada rombongan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah (JPBW) mengadakan lawatan ke Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Disember. – Rombongan seramai 26 warga Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah (JPBW) berada di negara ini dalam rangka kunjungan rasmi selama empat hari bagi mempelajari urus tadbir penempatan perkampungan di atas air yang lebih bersistematik.

Delegasi yang diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Hajah Masnah binti Matsalleh hari ini mengadakan lawatan ke Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara dan beberapa buat tempat di Kampong Ayer.

Dalam temu bual bersama Pelita Brunei, Hajah Masnah melahirkan rasa kagum dengan keindahan Taman Mahkota Jubli Emas dan merasakan rakyat Brunei amat beruntung mempunyai kemudahan di tengah bandar untuk beriadah dan menjalankan aktiviti fizikal.

Menyentuh mengenai lawatan ke negara ini, Hajah Masnah dan rombongan berhasrat untuk mengetahui prosedur dan tatacara perancangan penempatan perkampungan di air, memandangkan Negeri Sabah berhadapan isu masalah penempatan yang tidak bersistematik dan pihak Brunei Darussalam mempunyai urus tadbir dan sistem yang sangat teratur.

Oleh itu, katanya, dapatan dari lawatan ini akan dicedok dan dibuat satu garis panduan perumahan atas air yang akan disesuaikan dengan situasi di Negeri Sabah.

Lawatan diteruskan ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer dan ke salah sebuah rumah di bawah Projek Perintis Menaik Taraf Kampong Ayer di Kampung Lurong Sekuna, di mana mereka berkesempatan menyaksikan demo vakum dan rumah pam vakum yang merupakan sistem pembetungan yang bersistematik di Kampong Ayer.

 2_Lawatan JPBW ke TMJE dan Kampong Ayer.jpg

ROMBONGAN Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Negeri Sabah (JPBW) dibawa meninjau rumah-rumah Projek Perintis Menaik Taraf Kampong Ayer.

Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke Kampung Sungai Bunga bagi melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti tempat beribadat, penyelenggaraan sampah, kemudahan keselamatan dan sebagainya.

Antara objektif kunjungan ini ialah bagi mewujudkan platform untuk kolaborasi dalam bidang perancangan bandar, di samping mengkaji isu-isu pemilikan tanah dan penyediaan kemudahan di atas air, serta memberikan pendedahan kepada perancang bandar menghasilkan garis panduan penempatan atas air yang lebih bersepadu di Negeri Sabah.

Hadir bagi mengiringi rombongan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Haji Ali bin Mat Yassin serta pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments