Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Dua buku garis panduan perancangan dilancarkan

Berita: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi | Foto: Kementerian Pembangunan

1_Pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menerima Buku Garis Panduan Perancangan Suplementari Garis Bangunan dan Garis Panduan Perancangan dan Piawaian untuk Kemajuan Perumahan edisi 2018 daripada Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Disember. – Dua buah buku garis panduan yang bertujuan untuk menyelaraskan parameter perancangan yang berkenaan dan proses permohonan kebenaran perancangan selaras dengan perkembangan semasa di dalam mewujudkan pembangunan yang mampan, dengan mengoptimakan penggunaan tanah dan pengurusan pembangunan yang cekap telah dilancarkan pada Majlis Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 yang telah diadakan bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 kelolaan Jabatan Perancang Bandar dan Desa membawa tema 'Merancang Untuk Perubahan Ke Arah Pembangunan Yang Mampan' telah dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat.

Terdahulu, Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa turut menyampaikan kata-kata aluan yang diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat yang diselajurkan dengan pelancaran buku.

Semasa berucap, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai tema sambutan yang menurutnya amat relevan dalam mendukung rangka dasar dan pelan strategik Kementerian Pembangunan 2018-2023 selaras dengan misinya 'Kehidupan Berkualiti, Pembangunan Berterusan, Negara Makmur'.

Yang Berhormat seterusnya menyeru agar lebih banyak promosi-promosi dan kempen-kempen kesedaran diadakan untuk meningkatkan kefahaman orang awam mengenai perkara-perkara yang menyalahi undang-undang. Ini kerana masih lagi didapati pelanggaran peraturan di tahap yang tinggi.

2_Pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018.JPG

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dibawa menyaksikan pameran sempena Meraikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018.

Pada majlis tersebut, tetamu kehormat turut menyaksikan pameran mengenai pelan strategik Jabatan Perancang Bandar dan Desa, pelan-pelan pembangunan khususnya Pelan Daerah Brunei dan Muara dan Pelan Setempat Mukim Serasa, Perintah Perancangan Bandar dan Desa 2015 serta perkongsian maklumat mengenai dengan proses menghadapkan permohonan kemajuan dan maklumat garis panduan yang baharu dilancarkan.

Hadir sama, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung serta para pegawai di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments