Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Contohi kepimpinan calak Rasulullah
Berita dan Foto: Haji Ariffin bin Mohd. Noor / Morshidi

1_Sambutan 1440 Hijrah.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa berucap pada majlis tersebut.

BERAKAS, Sabtu, 15 September. – Peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai kaitan dengan sifat kepimpinan dan urus tadbir yang lurus dalam menerajui tampuk organisasi kepada perpaduan yang kukuh dengan penyusunan strategi dan perancangan yang teliti dengan penuh muafakat dan bersepadu.

Titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut kedatangan awal tahun baharu Hijrah 1440 juga menekankan supaya pemimpin-pemimpin mengikut sifat dan gaya kepimpinan junjungan agung Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tersebut.

2_Sambutan 1440 Hijrah.jpg

3_Sambutan 1440 Hijrah.jpg

MAJLIS turut diserikan dengan meraikan para jemaah haji kementerian tersebut yang telah kembali ke tanah air.

Perincian berkenaan merupakan sebahagian daripada ucapan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah 1440 yang diadakan di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

Yang Berhormat menambah memperingatkan para pemimpin di Kementerian Pembangunan agar mampu untuk melakukan perubahan agar mencapai keadaan yang lebih baik dan cemerlang.

Dalam pada itu konsep hijrah, menurut Yang Berhormat lagi, hendaklah sentiasa dihayati oleh warga kementerian tersebut demi meningkatkan imej negara ke arah bersih dari sampah sarap dan bebas daripada pencemaran bahan-bahan plastik untuk meraih kehidupan dan masa hadapan yang lebih berkualiti.

Terdahulu majlis Sambutan Awal Tahun Baharu Hijrah kelolaan Jabatan Perancang Bandar dan Desa telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh penceramah undangan, Pengarah Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Harapandi bin Dahri yang juga seterusnya menyampaikan ceramah bertajuk "Membangun Peradaban melalui Hijrah".

Majlis keagamaan tersebut juga turut diserikan dengan meraikan kepulangan seramai 22 orang jemaah haji warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang dimeriahkan dengan Dikir Syarafil Anam.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap, Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakob, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua divisyen dan unit serta para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber: Pelita Brunei.
Attachments