Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Kualiti udara di tahap baik dan sederhana

Siaran Akhbar: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Ogos. – Negara Brunei Darussalam pada masa ini mengalami keadaan berjerebu. Keadaan ini adalah disebabkan oleh sejumlah titik panas akibat dari kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke Negara Brunei Darussalam.

Imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 13 Ogos 2018, menunjukkan sebanyak 265 titik panas telah dikesan di sebelah Selatan dan Barat kepulauan Borneo.

Kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah adalah tinggi, berbanding dengan hari-hari biasa. Kualiti udara bagi Negara Brunei Darussalam keseluruhannya adalah di tahap baik dan sederhana.

1_Bacaan PSI 14 Ogos 2018.jpg

BACAAN indeks pencemaran (PSI) pada 14 Ogos 2018.

Bacaan indeks pencemaran (PSI) kelmarin (14 Ogos 2018, Selasa) (pada jam 4.00 petang) dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara, Kualiti Udara Baik dan PSI 36; di Daerah Belait Kualiti Udara Sederhana dengan PSI 54; di Daerah Temburong Kualiti Udara Baik dan PSI 27 sementara Daerah Tutong Kualiti Udara dalam keadaan Sederhana dan PSI 51.

Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara baik, manakala bacaan PSI di antara 50 dan 100 adalah sederhana.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), bagi yang tidak mempunyai masalah kesihatan, bolehlah melakukan aktiviti luar manakala kanak-kanak, warga tua dan seseorang yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai juga dinasihatkan meminum air yang mencukupi dan berjumpa doktor di Pusat Kesihatan, sekiranya terdapat kesan-kesan kesihatan seperti batuk-batuk, selsema, mata yang pedih dan susah bernafas.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) sentiasa memantau situasi dari masa ke semasa, di mana orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB dan laman web jabatan.

Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan terjadinya kebakaran rumpun dan hutan.

Jika terjadinya kebakaran rumput dan hutan, orang ramai juga digesa untuk melaporkannya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui talian Hotline 995.

Untuk aduan pembakaran terbuka dan pertanyaan mengenai dengan kualiti udara, orang ramai bolehlah menghubungi JASTRe di talian Darussalam 123 dan 2241262 sambungan 405 semasa waktu bekerja.

Maklumat mengenai dengan bacaan PSI juga boleh didapati di laman web 'www.env.gov.bn' setiap dua jam, sementara maklumat dan nasihat lanjut kesihatan boleh diperolehi dengan menghubungi Kementerian Kesihatan di talian Healthline 145 semasa waktu berkerja, atau dengan melayari 'www.moh.gov.bn', manakala maklumat mengenai ramalan kajicuaca boleh diperolehi dengan melayari laman web Jabatan Kaji Cuaca, Kementerian Perhubungan di 'www.met.gov.bn'.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments