Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Berkenan kurniakan penamaan Empangan Jubli Emas Tutong

Oleh: Haniza Abdul Latif | Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor, Masri Osman, Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

3_Perasmian Empangan Jubli Emas Ulu Tutong.jpg 

KDYMM semasa berkenan menandatangani plak Empangan Jubli Emas Ulu Tutong.

TUTONG, Khamis, 19 Julai. – Empangan Ulu Tutong kini dikenali sebagai Empangan Jubli Emas Ulu Tutong, merupakan satu projek bernilai lebih BND85 juta yang mula dilaksanakan pembinaannya pada 1 Februari 2010 oleh Jabatan Kerja Raya, Konsultan MWH dan pemborong yang dilantik, Sinohydro-Pahaytc Joint Venture Sdn. Bhd. dan siap pembinaannya pada 25 Jun 2017.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan penamaan bagi Empangan Ulu Tutong semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-72 Tahun bagi Tahun 2018.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke khemah majlis berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

1_Perasmian Empangan Jubli Emas Ulu Tutong.jpg

KDYMM dan ahli kerabat diraja pada sesi bergambar ramai.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

2_Perasmian Empangan Jubli Emas Ulu Tutong.jpg

KDYMM semasa disembahkan penerangan mengenai Empangan Jubli Emas Ulu Tutong.

Kebawah DYMM seterusnya dijunjung mendengarkan sembah taklimat mengenai pembinaan dan operasi Empangan Ulu Tutong yang disembahkan oleh Pengarah Perkhidmatan Air, Dayang Lim Sui Kau Alice.

Baginda juga berkenan untuk mengurniakan Titah Penamaan dan seterusnya menandatangani Plak Penamaan Empangan Ulu Tutong.

Kemudian Kebawah DYMM dijunjung bergambar ramai bersama ahli-ahli jawatankuasa, sebelum menyaksikan video ringkas mengenai Empangan Ulu Tutong.

Empangan dan takungan air Ulu Tutong dibina bertujuan bagi meningkatkan lagi sekuriti bekalan air di Daerah Brunei dan Muara / Tutong serta mengurangkan risiko kekurangan air di kawasan tersebut, terutama sekali semasa musim kemarau.

Takungan Ulu Tutong direka bentuk untuk beroperasi sebagai takungan yang mengawal sedia dan menyalurkan air ke dalam Sungai Tutong apabila aliran semula jadi tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang diperlukan.

Operasinya akan disepadukan dengan Empangan Benutan yang sedia ada dan Babang Tutong yang berfungsi mengekalkan paras air sungai bagi pengambilan air mentah di Kuala Abang dan Layong.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments