Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Jambatan pejalan kaki dirasmikan

Siaran Akhbar dan Foto: Jabatan Kerja Raya

1_Jambatan pejalan kaki dirasmikan.jpg 

SETIAUSAHA Tetap (Teknikal dan Professional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin merasmikan jambatan pejalan kaki Sungai Kianggeh.

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Julai. – Pembinaan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Dermaga Diraja dan Jalan Residency merupakan salah satu skop kerja di bawah Projek Pembesaran Jalan Residency yang telah pun siap dan mula beroperasi pada 14 Mei lalu.

Jambatan pejalan kaki yang baharu tersebut berukuran 8 meter luas menyeberangi Sungai Kianggeh sepanjang 80 meter. Pembinaan adalah bertujuan untuk menghubungkan Dermaga Diraja dengan Jalan Residency, seterusnya melengkapkan rangkaian laluan penjalan kaki sepanjang kira-kira 3 kilometer bermula dari Taman Mahkota Jubli Emas hingga ke Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS).

Majlis pembukaan rasmi jambatan pejalan kaki tersebut disempurnakan hari ini oleh Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakaria; Pegawai Daerah Brunei dan Muara; Pengerusi Bandaran Bandar Seri Begawan; Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Kota Batu, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan.

2_Jambatan pejalan kaki dirasmikan.jpg

PROJEK pembesaran Jalan Residency yang telah pun siap.

Dengan terbinanya jambatan pejalan kaki itu, maka ia akan dapat meluaskan lagi ruang untuk orang ramai beriadah di persisiran tebing Sungai Brunei, menikmati suasana persekitaran Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer serta menambah daya tarikan kepada para pengunjung dan pelancong.

Di samping itu, dengan siapnya rangkaian laluan pejalan kaki tersebut, diharap akan dapat menjana pertumbuhan aktiviti sosio ekonomi dan menambah keindahan persekitaran Bandar Seri Begawan.

Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan ingin mengingatkan kepada orang ramai, seterusnya memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama menjaga kebersihan jambatan pejalan kaki tersebut dan persekitarannya demi kesejahteraan dan keselesaan semua pihak.

Sejurus selepas pembukaan jambatan pejalan kaki tersebut, tetamu kehormat majlis dan para jemputan turut sama-sama meninjau lebih dekat persekitaran jambatan pejalan kaki berkenaan.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments