Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Buku Dasar dan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan dilancarkan

Berita dan Foto: Mohamad Azmi Awang Damit

1_Pelancaran Buku Dasar dan Pelan Strategik.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa berucap dan seterusnya melancarkan Buku Rangka Dasar dan Buku Pelan Stratergik Kementerian Pembangunan 2018-2023.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Jun. – Kementerian Pembangunan melalui Divisyen Penyelarasan dan Perancangan Stratergik (PCSP) telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku Rangka Dasar dan Buku Pelan Stratergik Kementerian Pembangunan 2018-2023.

Hadir dan seterusnya melancarkan buku-buku tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Semasa majlis pelancaran tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan, dalam ucapan pelancarannya menyatakan, Rangka Dasar yang diterbitkan antara lain menggariskan hala tuju dasar dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan Kementerian bagi 5 tahun mendatang bermula pada tahun 2018-2023.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menyatakan, Pelan Strategik yang turut diterbitkan mengandungi garis panduan bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan adalah selaras dengan keutamaan keperluan pengurusan dan operasi Kementerian Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan akhirnya menyentuh mengenai kepentingan untuk mempunyai kesepaduan, pensejajaran serta kerjasama yang erat yakni (whole of nation approach) daripada semua pihak kementerian agar pelaksanaannya adalah kompeten dan tepat bergerak seiring bagi menyumbang ke arah kemajuan dan kepentingan negara.

Di samping itu, Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dalam ucapan alu-aluannya mengharapkan dengan adanya kedua-dua buku ini, ianya sekali gus akan dapat memperkasa perkhidmatan Kementerian Pembangunan demi untuk melakar kecemerlangan, memanfaatkan perubahan serta peluang-peluang baharu serta memperkembang-luaskan perkhidmatan yang sedia ada untuk memacu sistem pencapaian perkhidmatan yang lebih efektif dan efisien.

Maka, langkah seterusnya adalah untuk memperkukuhkan lagi melalui sesi pembarigaan kepada seluruh warga Kementerian Pembangunan bagi memastikan kefahaman yang jelas dan pelaksanaan yang cekap secara khususnya pelan perancangan keseluruhan, peranan yang harus dimainkan, fokus bidang keutamaan serta hala tuju Kementerian Pembangunan dalam masa 5 tahun ke hadapan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pembangunan.

Kedua-dua buku tersebut bolehlah dimuat-turun melalui laman sesawang Kementerian Pembangunan di www.mod.gov.bn.

Acara pelancaran turut diselajurkan dengan sesi penyampaian taklimat mengenai perancangan stratergik oleh Ketua Penyelidik CSPS, Dr. Diana Cheong.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments