Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Inisiatif Bebas Botol Plastik dilancarkan

Berita dan Foto: Hernie Suliana binti Haji Othman

1_Hari Alam Sekitar Sedunia 2018.jpg 

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar melancarkan Inisiatif Bebas Botol Plastik sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2018.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Jun. – Kementerian Pembangunan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal berhubung kait dengan alam sekitar, menjadi contoh kepada orang ramai sebagai kementerian pertama bebas botol plastik sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2018.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa merasmikan pelancaran Inisiatif Bebas Botol Plastik bagi Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan.

Dalam ucapan pelancarannya, Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga menekankan bahawa isu dan masalah alam sekitar mendapat perhatian di pelbagai peringkat pada masa ini kerana implikasinya bukan sahaja ke atas generasi masa kini tetapi juga generasi kita di masa hadapan.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, isu-isu alam sekitar yang sering dibangkitkan, antara lain, termasuklah pencemaran udara, pencemaran air, keholangan biodiversiti dan perubahan iklim, berpunca dari pembangunan fizikal yang tidak terkawal, gaya hidup dan corak penggunaan (consumption patterns) dan perbuatan manusia yang kurang bertanggungjawab seperti penggunaan dan pembuangan botol-botol plastik dan sisa-sisa plastik yang menjejaskan sungai-sungai dan laut.

Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini bertemakan "Beat Plastic Pollution" diungkayahkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan.

Terdahulu, Pemangku Pengarah JASTRe, Dayang Martinah Haji Tamit dalam ucapan alu-aluannya menyentuh mengenai tema pada tahun ini iaitu "Beat Plastic Pollution" atau "Tewaskan Pencemaran Plastik" yang membawa maksud bahawa dunia memerlukan setiap individu dalam sama-sama menangani masalah alam sekitar, terutama sekali pencemaran plastik.

Isu alam sekitar, katanya, sudah menjadi isu universal dan semua pihak harus memainkan peranan, termasuklah warga perkhidmatan awam dalam sama-sama bertanggungjawab bagi mengujudkan suasana persekitaran sejagat yang kondusif, di mana tuntutan ini memerlukan tindakan daripada semua pihak secara kolektif dan komprehensif.

Inisiatif ini, tambahnya, wujud atas kesedaran bahawa kita perlu berbuat sesuatu demi mencapai hasrat untuk mengurangkan sisa buangan dari bahan plastik termasuk bekas botol plastik di negara ini, bertepatan dengan tema-tema yang difokuskan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam semua sambutan yang berhubungkait dengan alam sekitar pada tahun 2018 dalam usaha untuk memerangi pencemaran dari bahan plastik, yang mencerminkan bahawa bahan plastik adalah masalah sejagat yang boleh mengancam kesejahteraan alam sekitar dan akhirnya menimbulkan ancaman kepada penduduk sedunia secara menyeluruh.

Majlis diselajurkan dengan pengagihan botol alternatif iaitu water tumblers sebagai simbolik kepada pelancaran inisiatif tersebut yang mana diharapkan akan dapat membiasakan diri untuk mengurangkan penggunaan botol plastik di kalangan warga Kementerian Pembangunan.

Tema Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini merupakan satu seruan yang mengajak kita untuk bertindak bagi sama-sama memerangi salah satu cabaran alam sekitar sejagat yang besar pada masa ini. Ianya mengkehendaki kita untuk mempertimbangkan dan mengubah gaya hidup kita ke arah mengurangkan beban pencemaran plastik di negara kita, terutama sekali bagi 'single use plastics' atau bahan plastik pakai buang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakari, dan Pengarah-Pengarah, Timbalan-Timbalan Pengarah, ketua-ketua divisyen serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Seperti kelazimannya, Hari Alam Sekitar Sedunia diraikan pada 5 Jun setiap tahun dengan mengadakan beberapa aktiviti yang menjurus kepada matlamat untuk meningkatkan kesedaran, sokongan dan penyertaan setiap golongan masyarakat dalam sama-sama memelihara alam sekitar.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments