Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Sokong inisiatif setiap hari tanpa beg plastik

Siaran Akhbar: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 Mei. – Dalam usaha bersama untuk mengurangkan pencemaran plastik di negara ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) ingin mengingatkan dan menyarankan orang ramai untuk menggunakan beg-beg guna semula semasa membeli belah dalam sama-sama menyokong Inisiatif Setiap Hari Tanpa Beg Plastik.

Usaha ini tidak boleh dikekang hanya untuk jabatan dan kedai runcit, tetapi juga apabila membeli-belah di gerai-gerai terutama pada bulan Ramadan ini.

Mengikut statistik yang dikeluarkan JASTRe, sebanyak 16 peratus daripada sisa pepejal / sampah yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sungai Paku adalah terdiri daripada bahan plastik dan masalah pencemaran plastik.

Isu pembuangan dan pencemaran plastik juga dapat diperhatikan dan dilihat baik di darat mahupun di perairan negara, terutama di Sungai Brunei dan di bawah rumah kawasan bakut Kampong Ayer.

Plastik adalah merupakan bahan yang tidak mudah reput, dan ia akan terurai menjadi sebatian Toksik (toxic compounds) seperti dioksin, yang boleh mencemarkan tanah.

Bahan plastik (terutamanya beg-beg plastik) juga boleh menyekat sistem saliran atau longkang, yang boleh mengakibatkan banjir.

Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik mula dilancarkan pada 26 Mac 2011 dengan penambahan Hari Jumaat bermula 17 Februari 2018.

Inisiatif ini adalah bertujuan untuk mencapai matlamat meningkatkan kadar penggunaan konsep 3 'R' (Reuse, Reduce, Recycle) ke arah mengurangkan jumlah sisa buangan di negara ini.

Penambahan hari Khamis telah dimulakan pada 19 April 2018 bersempena dengan sambutan Hari Bumi 'Akhiri Pencemaran Plastik' (End Plastic Pollution) dan penambahan hari-hari lain akan dibuat secara berperingkat-peringkat dengan penambahan hari Rabu pada Julai 2018, Selasa pada Oktober 2018 dan Isnin untuk ditambah pada Disember 2018, bagi merealisasikan matlamat dan dasar kerajaan ke arah Setiap Hari Tanpa Beg Plastik sehingga bermula 1 Januari 2019.

Pengurangan dan pemberhentian beg plastik guna pakai adalah satu matlamat global, di mana lebih 40 negeri sudahpun mengambil langkah-langkah terhadap pengurangannya; sebagai contoh Bangladesh telah pun membuat laporan larangan (ban) terhadap beg plastik pada 2002 kerana banjir yang teruk, China juga membuat larangan kepada beg plastik yang nipis sebelum Sukan Olimpik 2008 dan Bali juga sudah menandatangani beberapa memorandum dan deklarasi untuk mengambil langkah terhadap larangan beg plastik.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments