Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Brunei - Singapura tingkatkan kerjasama alam sekitar

Berita dan Foto: Hernie Suliana Haji Othman

1_12th BSAEV.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad semasa Mesyuarat Pertukaran Lawatan Tahunan Kali Ke-12 Brunei-Republik Singapura (BSAEV).

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Mei. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar berkata, rangka kerja dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura menyediakan landasan yang kukuh dan jalan untuk kedua buah negara bertukar maklumat dan pengalaman, terutama amalan terbaik dan kepakaran dalam menangani isu-isu semasa dan persekitaran yang muncul, yang terjadi di kedua-dua negara.

Terdapat banyak kemajuan dalam bidang kerjasama melalui pertukaran biasa di bawah kumpulan kerja antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, dari segi pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air, dan program pertukaran alam sekitar di kalangan belia, yang mana isu-isu ini adalah berkepentingan dan berfaedah bagi kedua-dua negara.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa berucap selaku Pengerusi Bersama dalam Mesyuarat Pertukaran Lawatan Tahunan Kali Ke-12 Brunei-Republik Singapura (BSAEV) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini, menjelaskan mereka mengiktiraf kepentingan kerjasama dua hala itu, kerana ia berperanan dalam usaha kedua negara untuk mempertingkatkan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan, serta pembangunan mampan ke arah menyediakan kualiti kehidupan rakyat yang tinggi, sejajar dengan Wawasan Brunei 2035.

Negara Brunei Darussalam tambahnya, akan terus menghadapi pelbagai cabaran dalam berbuat demikian dan gembira untuk belajar dari Republik Singapura mengenai pembaikan strategi dalam menguruskan cabaran masa depan bersama ke arah sumbangan yang bermakna kepada perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar, serta kesejahteraan rakyat, sama ada di peringkat domestik, atau di forum serantau dan antarabangsa.

Yang Berhormat juga menyatakan sokongan Brunei terhadap Inisiatif Rangkaian Bandaraya Pintar ASEAN (ASCN) yang mana ia akan memberi peluang bagi pertumbuhan, inovasi, pembinaan kapasiti dan pembangunan.

Menurut Yang Berhormat lagi, penyertaan sektor awam dan swasta melalui pelbagai penglibatan pihak berkepentingan seperti PPP adalah sama pentingnya dalam meningkatkan usaha untuk mengintegrasikan aspek alam sekitar ke dalam pembangunan infrastruktur.

Di sini, jelasnya, kita dapat melihat kerjasama dua hala sebagai satu cara untuk terus meningkatkan penyertaan, bukan sahaja di peringkat G-to-G, tetapi juga di kalangan sektor swasta kedua buah negara.

Delegasi Republik Singapura di mesyuarat tersebut diketuai oleh Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.

Turut hadir Pengerusi Bersama '12th Meeting of Brunei-Singapore Joint Committee on The Environment' (BSJCE); Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Setiausaha Tetap, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Republik Singapura, Mr. Albert Chua.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments