Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Gubal strata, buka peluang pasaran hartanah

Berita dan Foto: Mohamad Azmi Awang Damit

1_Bengkel Hak Milik Strata 2018.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar hadir selaku tetamu kehormat di Bengkel Hak Milik Strata.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Mei. – Akta Kanun Tanah (strata) Negara Brunei Darussalam digubal bagi membolehkan orang awam untuk memiliki hartanah dalam bentuk unit-unit strata di dalam bangunan dan membuka peluang pasaran hartanah.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar menyatakan perkara itu semasa berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Hak Milik Strata yang berlangsung di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan, di sini.

2_Bengkel Hak Milik Strata 2018.jpg

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa menyampaikan ucaptama dan merasmikan Bengkel Hak Milik Strata di Kementerian Pembangunan.

''Objektif tersebut dihasrat akan dapat meningkatkan ekonomi negara dengan menggalakkan pertumbuhan industri hartanah dan juga menarik pelabur tempatan dan luar negara dalam sektor hartanah,'' jelas Yang Berhormat.

Tambahnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan perintah penilai dan ejen hartanah 2009 pindaan 2016.

''Melalui pindaan tersebut para penilai dan ejen hartanah untuk berdaftar dan mempunyai lesen daripada lembaga penilai dan ejen hartanah sebelum menjalankan apa jua perniagaan di Negara Brunei Darussalam,'' tambahnya.

Dengan tertubuhnya lembaga berkenaan aktiviti penilai dan ejen hartanah akan dapat dikawal selia dengan betul dan berkesan, serta seterusnya dapat meningkatkan tahap profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan, terutamanya dalam hal pengurusan pemilikan strata dan unit hak milik.

Antara objektif bengkel diadakan ialah sebagai sesi perkongsian dan latihan mengenai amalan-amalan terbaik hak milik strata, terutamanya daripada negara luar seperti Australia, Singapura dan Malaysia.

Bengkel dua hari yang dianjurkan oleh Jabatan Ukur, Jabatan Tanah dan Institusi Geomatik Brunei (B.I.G) menampilkan empat pembentang kertas kerja berkaitan pengendalian hak milik strata dari Australia, Singapura dan Malaysia.

Juga hadir, Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Sumber: Pelita Brunei.

Attachments